Hiburan
"Tiket Ke Jepun Kami Beli Tahun Lalu, Bukan Tidak Ada Kesedaran Sewaktu Covid-19 Tengah Merebak" - Shera Aiyob
Pelakon Shera Aiyob menyatakan dia sudah kembali ke Kuala Lumpur daripada bercuti di Jepun hampir seminggu yang lalu sebelum jumlah kes wabak koronavirus (Covid-19) meningkat.
Kata Shera, dia tidak mengemas kini setiap masa aktiviti mereka sekeluarga di Instagram (IG)nya namun telah kuarantin sendiri di rumah serta mengikut langkah-langkah yang sepatutnya.
"Sebenarnya dah hampir seminggu pulang ke Malaysia cuma tidaklah setiap benda kami nak update di laman sosial. Ya, selepas pulang hari itu, kami kuarantin sendiri.
"Sekiranya terpaksa kami akan menggunakan topeng muka dan juga sanitizer seperti yang disarankan. Sekiranya ada demam, batuk atau selsema kami akan terus ke hospital atau mungkin kami akan terus buat ujian Covid-19," tulisnya di Instagram (IG).
Isteri kepada aktor Zahiril Adzim menidakkan dakwaan yang kononnya mereka sekeluarga tidak prihatin dengan wabak yang kian buruk keadaannya.
"Tiket ke Jepun itu kami beli bulan Ogos tahun lalu untuk melawat keluarga kami di sana, bukan tidak ada kesedaran beli sewaktu Covid-19 tengah merebak.
"Sewaktu kami ke sana keadaan masih terkawal cuma 2 3 hari sebelum kami pulang sahaja kes semakin meningkat.
"Kami tak tinggal di hotel kerana kami ada keluarga di sana. Dan banyak plan yang kami cancel untuk mengelakkan ke tempat yang terlalu ramai orang," kongsi Shera.
Dalam pada itu, pemilik nama Nur Syahirah Aiyob, 34, berkata sebelum pergi melancong mereka sudah mendapatkan suntikan di hospital selain mengambil vitamin C setiap hari.
"Sebelum melancong kami ambil suntikan di hospital dan makan vitamin C setiap hari. Sepanjang di lapangan terbang dan juga dalam kapal terbang kami pakai topeng muka, sanitizer dan spray trolley, seats.
"Selebihnya kami hanya mampu berdoa supaya kami sekeluarga dilindungi Allah. Terima kasih kepada yang memberi peringatan, yang menasihati dan menyayangi kami.
"Kepada netizen yang prihatin tolong doakan yang baik-baik untuk kami sekeluarga," tulisnya lagi.
Terdahulu, Shera berkongsi momen kenangan ketika berada di Tokyo, Jepun bersama Zahiril dan anak mereka, Nadi Anaqi.