Laman Utama

Tilit-Tilit Cinta Drama Dialek Sarawak Pertama Masuk Netflix!

Amri Hassan
21/09/2022
10:07 MYT
Sponsor Banner
Tilit-Tilit Cinta Drama Dialek Sarawak Pertama Masuk Netflix!
Tilit-Tilit Cinta (Spying Your Love) mencipta sejarah apabila menjadi drama dialek Sarawak pertama yang akan ditayangkan di Netflix.
Diedarkan oleh MyContent Distribution, drama bersiri 13 episod terbitan Vian Media ini merupakan adaptasi dari teater berjudul ‘Latiff vs Maryam’, karya asal Arshad Adam.
Berkisar mengenai kisah percintaan penuh romantik dan jenaka, watak lelaki dan wanita utama, Ujang dan Merry dilakonkan oleh Haziq Fadhullah dan Dee Dee A’iene.
Tilit-Tilit Cinta diarahkan oleh Josh Nawan, turut dibintangi pelakon-pelakon pembantu Kahar Jini, Yana Melanos dan Javenson Serit, manakala OST-nya, “If You Don’t Love Me Now” merupakan ciptaan Farouk Kamil dan dinyanyikan Steff Fleur. Kesemua bakat tersebut adalah anak jati Sarawak.
Kata Pengarah Urusan MyContent Distribution, Lyn Nasihin, pihaknya punyai matlamat untuk mengembangkan industri kreatif Malaysia dengan mengedarkan karya tempatan ke platform antarabangsa.
"Matlamat kami di MyContent Distribution adalah untuk mengembangkan industri kandungan kreatif di Malaysia dengan mengedarkan karya kandungan kreatif tempatan ke platform-platform penstriman global.
"Ini bertujuan untuk menggalakkan syarikat produksi tempatan menghasilkan lebih banyak karya yang boleh dipasarkan untuk tontonan antarabangsa, seperti Tilit-Tilit Cinta," katanya.
Turut hadir di majlis pengumuman khas tersebut adalah Ketua Penolong Pengarah FINAS Sarawak, Maffizan Saupie, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Rizal Zulkapli dan Penerbit Eksekutif Vian Media, Jason Chong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Finas, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada produksi drama terbabit.
"FINAS sangat mengalu-alukan terbitan yang boleh dibawa ke peringkat global. Usaha pihak MyContent Distribution untuk memasarkan Tilit-Tilit Cinta ke Netflix adalah satu inisiatif terpuji dan harus dicontohi oleh syarikat produksi tempatan lain.
"Ini bukti bahawa karya penggiat kandungan kreatif Malaysia mempunyai keunikannya tersendiri dan versatil, sesuai untuk tontonan masyarakat di seluruh pelosok dunia. Menggunakan dialek Sarawak sepenuhnya dan memaparkan kepelbagaian sosiobudaya di negara ini, kami yakin Tilit-Tilit Cinta akan berjaya menambat hati penonton," ujar beliau.
Memberi galakan kepada pemain industri untuk terus berkarya, Rizal di dalam ucapannya pula memberitahu bahawa permohonan TVS Pitch-It Siri 2/2022 telah pun dibuka bermula 1 September sehingga 20 Oktober 2022 dan menyeru penggiat industri kandungan kreatif tempatan untuk menghantar idea mereka.
Drama ini telah ditayangkan di TVS, saluran 122 Astro dan MYTV tahun lalu, bermula 9 Oktober dan tamat pada 21 November 2021.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar