Laman Utama
Tiro Rancang Nak Buat Sitkom, Ikut Jejak Langkah Senario
Juara Maharaja Lawak Mega 2021, Tiro merancang untuk memulakan sitkom sendiri dalam usaha untuk memperkasakan jenama kumpulan mereka.
Dianggotai oleh Sharif, Syaiful dan Danial Zaini, kumpulan Tiro mengambil pendekatan sama seperti dilakukan kumpulan Senario untuk memberikan variasi hiburan lawak tanah air.
"Kami memang ada beberapa perancangan terutamanya untuk mempunyai sitcom sendiri bagi menghiburkan peminat lawak di negara ini.
"Kita pernah mempunyai beberapa sitcom yang sangat menarik sebelum ini dan kami sepakat untuk menghidupkan kembali rancangan seperti itu," kata Sharif.
Tiro ditemui ketika majlis kesyukuran Restoran Empangan Udang Galah, Putrajaya selain meraikan 20 peminat kumpulan itu.
Pada majlis itu, hadirin diraikan dengan pelbagai juadah serta aktiviti cabutan bertuah serta bergambar.
Sementara itu, Danial akui lebih banyak idea boleh dikongsikan menerusi sitkom malah merancang untuk merakamkan single pertama Tiro.
"Idea rakam lagu ini tercetus bila kami buat muzikal komedi, jadi kami juga teringat momen lagu-lagu etnik yang pernah dirakam oleh senior kami seperti Senario.
"Jadi kami rancang untuk merakamkan lagu dengan konsep sama dengan elemen joget untuk peminat kami," katanya.
Mengenai hayat kumpulan Zero, iaitu gandingan Sharif, Syaiful dan Atu, ia masih aktif namun akui Sharif, permintaan kini lebih kepada Zero.
"Zero masih ada dan tetap akan bersama. Zero dan Tiro akan berjalan seiring. Sebab masing-masing ada kekuatan.
"Dalam Tiro kami memang mahu Danial memainkan peranan utama dengan gandingan saya dan Melati (Syaiful) serta kami memilih lawak meniru gaya dan suara," katanya.
Danial menambah, tidak ada isu ganti sesiapa tetapi masing-masing ada cara dan pendekatan tersendiri.
Malah katanya, tidak mustahil untuk Tiro dan Zero bergandingan dalam satu persembahan.