Berita

Tol Percuma 8 & 9 Februari Sempena Tahun Baharu Cina

Gempak
07/02/2024
04:05 MYT
Sponsor Banner
Tol Percuma 8 & 9 Februari Sempena Tahun Baharu Cina
Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina (CNY), pada 9 dan 10 Februari ini.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula jam 12.01 tengah malam pada 8 Februari (Jumaat) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari (Sabtu).
Katanya, pendekatan pemberian tol percuma ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos hidup rakyat.
"Implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.
"Pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
"Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.
"Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Selain itu, Alexander turut mengingatkan agar aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan CNY ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.
Tambah beliau, pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch 'n Go serta eWallet adalah mencukupi.
"Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.
"Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan," ujarnya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar