Berita

Tol Percuma Sempena Deepavali Mulai Tengah Malam Ini

Gempak
28/10/2024
04:09 MYT
Sponsor Banner
Tol Percuma Sempena Deepavali Mulai Tengah Malam Ini
Kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya selama dua hari bermula esok sempena Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tol percuma bermula pada pukul 12.01 tengah malam 29 Oktober dan berakhir pada pukul 11.59 malam, 30 Oktober atau Rabu ini.
"Pengecualian tol hanya diberi kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Alexander berkata, kos pemberian tol percuma dianggarkan berjumlah RM38 juta akan ditanggung kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol terbabit.
"Pemberian tol percuma ini adalah selaras teras utama kerajaan Malaysia MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan merancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik berdasarkan panduan disediakan.
"Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon pengguna jalan raya memandu dengan berhemah, mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan.
"Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia," katanya.
Sumber - BH
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar