“Tolong Jaga Adab Waktu Menyusu Anak In Public”- Liza Hanim Mohon Jaga Kehormatan Sebagai Wanita & Ibu
Penyanyi, Liza Hanim terpanggil memberikan pandangan terhadap seorang usahawan kontroversi yang tular kerana tindakannya menyusukan anak ditempat awam tanpa menutup bahagian dadanya.
Menurut Liza perkara itu tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya usahawan tersebut sepatutnya menjaga kehormatan sebagai seorang wanita dan juga ibu.
“Saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat. Baru-baru ini ternampak gambar seorang usahawan menyusukan anak depan khalayak ramai dan ambil gambar.
“Sebagai seorang ibu yang menyusukan anak, saya sepenuhnya menyokong usahawan ini dalam breastfeeding journey.
“Namun, sebagai seorang saudara dalam Islam, saya juga mohon tolonglah jaga adab ketika menyusu di khalayak ramai,” tulisnya menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam hantaran yang sama, Liza juga menyatakan pandangan tersebut sekadar memberikan ingatan buat para wanita dan juga dirinya untuk memperbaiki ke arah yang lebih baik.
“Saya sendiri pernah susukan anak di mana-mana sahaja. Malah pernah satu ketika di tepi jalan di bandar Seoul, Korea dan saya juga merakamkan gambar.
“Tetapi ingatlah, kita harus menjaga adab. Aurat harus dijaga. Ini bukan masalah saya berhijab dan dia free hair. Cukuplah jaga kehormatan kita sebagai wanita Islam dan ibu.
“Jagalah kehormatan kita sebagai wanita. Jaga agama kita Islam. Saya bersuara untuk mengingatkan diri sendiri juga,” coretnya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengikutnya bersetuju dengan teguran sopan yang disuarakan oleh Liza.
Terdahulu, Liana Rosli atau lebih mesra disapa Kak KM tular setelah memuat naik sebuah video sedang menyusukan anak bongsunya, Cinta Carissa di sebuah restoran mewah.
Bagaimanapun Kak KM kemudiannya menjelaskan video yang dimuat naik sebelum ini langsung tidak menampakkan bahagian payudaranya walaupun berada di tempat terbuka.