Laman Utama
Trofi FFM25 Syafie Naswip Sudah Sampai Ke Tangan Pembeli Dengan Nilai RM10,000, Netizen Beri Pujian
Pelakon Syafie Naswip meluahkan rasa syukur kepada seorang pemuda dikenali sebagai Abam Peah yang membeli trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) dengan nilai RM10,000.
Menurut Syafie atau lebih mesra disapa sebagai Ayie, dia berharap agar dengan usaha ini, dia dapat membantu orang-orang yang mengalami kesukaran berdepan pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah syukur terima kasih kepada @abampeahofficial kerana membeli trofi FFM25. Semoga dengan ini saya dapat membantu orang-orang yang memerlukan di luar sana dan semoga dengan hati yang mulia @abampeahofficial ni, Allah kurniakan rezeki melimpah-ruah, umur yang panjang dan dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.
“Untuk saat dan ketika ini, ramai yang terjejas dari segi kewangan mahupun pekerjaan. Namum beliau samggup mengeluarkan wang sebanyak RM10,000 membeli trofi ini agar dapat bantu mereka yang memerlukan.
“Saya amat mengagumi usaha beliau untuk membantu saya dan mereka di luar sana. Akhir sekali, semoga dapat brtemu empat mata dengan beliau satu hari nanti,” ujar Ayie di laman Instagram miliknya.
Pelakon filem Mukhsin itu turut berkongsi foto pemuda tersebut yang memegang trofi FFM25 yang dibelinya.
Sementara itu di ruangan komen, ramai rakan selebriti dan wargamaya memberikan pujian kepada niat murni Ayie dalam usaha meringankan beban golongan yang terjejas pendapatan.
“Proud of you Ayie, beautiful heart,” puji pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha.
“Alhamdulillah Ayie,” luah pelakon Nadiya Nissa.
“Alhamdulillah, semoga Allah naikkan darjat dia dan Ayie di akhirat nanti sebab niat ikhlas membantu orang yang memerlukan,” doa seorang wargamaya.
“Kerja mulia akan dibalas yang di Atas. Amin, semoga dipermudahkan,” kata seorang wargamaya.
“Terbaik bro, semoga Allah murahkan rezeki,” ujar seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 5,000 tanda suka daripada wargamaya.