Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Trofi Kejuaraan NSL 2022 Milik Johor Jewels, Fariha Razak Dan Nurul Huda Sempat Ulas Beberapa Isu

Shahrin Zulkifle 27/06/2022 | 02:29 MYT

Genap 23 hari kejohanan berlangsung, NSL 2022 melabuhkan tirainya semalam dengan menyaksikan pasukan Johor Jewels diangkat menjadi juara kejohanan selepas menewaskan pasukan KL Wildcarts, 50 berbalas 40 jaringan.

Baru-baru ini Gempak sempat menemubual pemain yang turut memberi saingan pada edisi kali ini, Fariha Razak dari Johor Jewels dan Nurul Huda dari KL Wildcarts.

Kedua pemain yang memiliki aksi lincah itu memaklumkan rata-rata pemain yang mewakili pasukan masing-masing telah menunjukkan perkembangan yang baik berbanding tahun sebelum.

“Banyak sangat perubahan yang dilihat, terutamanya pasukan yang mungkin sebelum ini kurang menyerlah namun tahun ini mereka dah tunjukkan cara permainan yang lebih menarik menerusi pemain yang mereka ada.

“Perkembangan lain yang boleh dilihat apabila ada kemasukkan pemain-pemain baru dan juga pemain senior yang bermain semula disebabkan ingin menjadi sebahagian dari NSL tahun ini.

“Dilihat dari segi persiapan pula, rasanya mereka melalui latihan kali ini lebih konsisten dan rapi,” ujar mereka berdua.

Sementara itu, Fariha turut menjelaskan berkenaan hanya pasukan Johor Jewels satu-satunya pasukan yang memiliki Import player.

“Pada saya mungkin pasukan lain menhadapi masalah dari segi kekangan masa, sebabnya untuk membawa pemain luar dari Malaysia sertai pasukan bukan mudah, banyak juga sangat prosesnya.

“Antara sebab lain yang boleh saya kata sedikit sebanyak berkenaan pandemik covid 19 itu sendiri.

“Mungkin juga setiap pasukan ada sebab mereka mahu ambil dan tidak mahu ambil, mungkin mereka mengambil kira faktor kewangan dan sebagainya.

“Tapi sebenarnya saya sangat berharap di kejohanan tahun berikut akan ada lebih banyak lagi pasukan yang menjemput pemain import supaya kita dapat naikkan lagi kejohanan ni." ujarnya kepada Gempak.

Tambah Fariha dan Huda, mereka berlainan pendapat berkenaan syarat yang diberikan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) yang hanya membenarkan tiga sahaja pemain luar sama ada Interstate player mahupun International player di dalam setiap perlawanan.

Huda berkata dia bersetuju dengan syarat berikut kerana masih adil untuk setiap pasukan mempamerkan aksi mereka.

“Saya setuju, saya mengambil situasi contohnya dalam perlawanan akan ada tujuh pemain, jika tiga sudah diberi kepada mereka yang termasuk dalam syarat itu, maka berbaki empat kita boleh berikan kepada pemain asal negeri itu untuk mereka menunjukkan juga aksi dan kehebatan mereka sendiri, masih adil." kata Huda.

Tetapi lain pula pada Fariha apabila dia menyatakan syarat itu perlu diambil kira semula kerana melibatkan beberapa perkara.

“Pada saya pula ada baik ada tidaknya, mungkin berkenaan import itu hanya melibatkan negara luar sahaja, jika mereka dari negeri lain tidak perlu dimasukkan dalam syarat itu. Sebabnya rugi untuk penonton yang datang tetapi tidak dapat lihat pemain yang kita import jauh melibatkan bayaran tinggi namun tidak dapat dipamerkan aksi mereka." tambah Fariha ringkas.

Sementara itu, tempat ketiga telah dimenangi oleh pasukan Selangor Angels manakala di tempat keempat dimenangi oleh pasukan Pahang Tulips dengan keputusan penuh 69 berbalas 66.

Fariha Razak turut dinobatkan sebagai penyerang terbaik kejohanan bagi edisi kali ini dan menerima sejumlah wang RM500 beserta trofi.

#NSL 2022 #Bola Jaring 2022 #Johor Jewels #KL Wildcards
;