Laman Utama
Tuju Keluar K-Clique, MK; "Saya Minta Maaf Kalau Dia Ada Tersinggung, Terasa Hati"
Penyanyi rap MK K-Clique tidak pernah kesal dengan keputusan ahli kumpulan K-Clique dan juga sahabatnya, Tuju yang memilih untuk mengundurkan diri daripada kumpulan berkenaan akhir tahun lalu.
Malah MK, 27, atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, memohon maaf kepada Tuju seandainya ada kesilapan yang dilakukan olehnya atau ahli kumpulan K-Clique.
“Sebelum ini saya ada dengar Tuju cakap dia keluar K-Clique tapi saya tak pasti di mana. Tapi bagi saya kami adalah adik beradik, sudah macam keluarga.
“Jadi dia boleh keluar dan boleh masuk sebab kami adik beradik. Kalau ada perselisihan pun, kita selesaikan di dalam maksudnya mungkin saya ada salah dengan dia, saya minta maaf.
“Alang-alang, saya di sini secara terbuka mahu minta maaf kalau saya ada salah silap dengan dia. Saya mewakili K-Clique mahu minta maaf kalau dia ada tersinggung atau ada buat dia terasa hati.
“Sejujurnya dari hati saya, saya minta maaf. Kami K-Clique dari dulu sampai sekarang adalah keluarga, saya sentiasa akan bawa nama K-Clique. Sebab itu ada nama K-Clique di belakang MK," katanya kepada Gempak.
Ditanya sama ada akan menantikan kepulangan Tuju ke K-Clique, kata MK dia sentiasa terbuka untuk menyambut semula 'ahli keluarganya' itu.
“Kami adalah keluarga, nama sentiasa dalam hati dan dalam doa. Jadi nak jangka dan tunggu kau balik, tidaklah tapi macam mana pun kami tetap keluarga.
“Kumpulan K-Clique juga macam kumpulan lain pastinya ada reunion tapi buat masa sekarang, mungkin dia sedang melakar perjalanan dia, jadi saya sokong dan mendoakan untuk dia melakar perjalanan yang berwarna warni. Insya-Allah
“Kami juga respek kepada privasi dan pendirian masing-masing,” katanya.
Untuk rekod, Tuju atau nama sebenarnya Mohd Azree Shah Awang Zamree dipercayai telah mengundurkan diri dari K-Clique sekitar akhir tahun lalu dan perkara itu pernah disahkan oleh anggota kumpulan itu, Noki.
MK yang ditemui di Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records 'Most Straight A's SPM Student In Tuition Centre yang berlangsung di IDCC Shah Alam, pada Sabtu mengakui merindui kumpulannya.
“Ya saya rindu semua, K-Clique ada lapan orang dan kami dari susah, dari zaman tiada nama dan sekarang alhamdulillah Allah bagi rezeki terkenal sampai semenanjung Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak, jadi saya rasa orang boleh faham hubungan kami macam mana,” katanya.
Dalam perkembangan lain, MK berkata K-Clique sedang dalam penghasilan single baharu dan dijangka akan keluar dalam tahun ini juga.
“Insya-Allah kami akan keluar dengan lagu baharu, anda semua rindu K-Clique, saya pun rindu nak ‘perform’ dengan abang-abang saya,” katanya.