Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Tular Isu 'Raya Mengejut' Sekali Lagi, Jakim Tampil Beri Penjelasan - "Disaran Membuat Semakan Di..."

Awani 31/03/2023 | 22:31 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Semua pihak juga dimohon untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara itu.
"Jakim ingin memaklumkan, bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja," kata Jakim dalam satu kenyataan.
Jakim mengulas mengenai penularan satu tangkap layar yang memaparkan.
“Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023” yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid.
Menurut kenyataan, paparan tersebut telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Jelas Jakim, cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023.
"Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh Jakim atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak," ujar kenyataan lagi.
Untuk rekod, pada tahun lalu, sambutan Aidilfitri bagi negeri-negeri seluruh Malaysia dijangkakan pada 3 Mei bersamaan hari Selasa.
Bagaimanapun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Daniel Syed Ahmad menerusi siaran langsung khas di media arus perdana, mengumumkan tarikh hari Raya adalah pada 2 Mei, iaitu Isnin.
;