Hiburan
Tular Video Wanita Pegang Lengan Fattah Amin, Ini Penjelasan Tuan Badan - “Wanita Itu Sebenarnya...”
Pelakon Fattah Amin tampil memberi penjelasan susulan tular video memaparkan seorang wanita didakwa sengaja menyentuh lengannya dalam sebuah acara.
Petugas majlis
Menurut Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 34, wanita berkenaan merupakan salah seorang petugas majlis yang ditugaskan mengiringinya sepanjang acara berlangsung.
Malah, Fattah turut beranggapan bahawa wanita tersebut tiada niat lain selain hanya untuk menjalankan tugasnya sahaja.
"Wanita itu sebenarnya salah seorang kru penganjur. Dia cuba untuk tarik saya ke bawah pentas sebab nak teruskan aturcara lain.
"Dia hanya cuba nak cepatkan pergerakan saya. Tapi kebetulan kamera banyak menyorot situasi itu sampaikan buat anggapan tidak baik tentangnya.
"Saya pun pada ketika itu tidaklah rela dipegang dan tangan pun dalam poket. Dan wanita itu pun saya yakin dia bukan saja-saja berbuat demikian,” katanya ketike ditemui Gempak pada sidang media Super Telemovie Unifi TV berjudul Larian Terakhir pada malam Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Didakwa Ada Yang Ambil Kesempatan Jadi ‘Pelaris’ Perniagaan, Fattah Amin Tak Marah - “Saya Hanya Mencari Rezeki Halal”
ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Serahkan Kepada Peguam” - Fattah Amin
Sementara itu, pelakon filem Pendekar Awangi itu juga mengakui tidak menjangkakan situasi tersebut bakal menjadi tular di media sosial sehingga ada mengecam tindakkan kru tersebut.
"Kasihan juga dekat dia. Tetapi benda seperti ini memang di luar kawalan, saya pun terkejut juga," kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Fattah bakal membintangi sebuah super telemovie terbaharu berjudul Larian Terakhir yang bakal bersiaran pada 15 Disember ini.
Selain Fattah, telemovie berkenaan turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat lain termasuklah Amyra Rosli dan Fahrin Ahmad.
Larian Terakhir bakal menemui penonton menerusi aplikasi Unifi TV serta saluran Degup.
Must-Watch Video