Laman Utama
Tumbuk Muka, Kejar Jururawat, Pesakit Covid-19 Larikan Diri Terjatuh Tingkat 5 Hospital Sg Buloh
Macam-macam karenah apabila frontliner terpaksa berhadapan dengan seorang pesakit Covid-19 yang menumbuk muka seorang jururawat sebelum melarikan diri.
Namun cubaan melarikan diri itu tidak berjaya kerana pesakit tersebut cedera parah selepas terjatuh dari tingkat lima ketika cuba melarikan diri dari Hospital Sungai Buloh, kelmarin.
Difahamkan kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 33 tahun dimasukkan di dalam wad hospital itu pada 3 pagi hari sama akibat positif Covid-19.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pesakit yang kelihatan murung itu cuba keluar dari wad sebelum bergelut dengan jururawat yang cuba menghalangnya.
"Pesakit lelaki itu bertindak agresif terhadap jururawat dengan menumbuk muka dan mengejar jururawat yang menghalangnya untuk keluar dari wad berkenaan.
"Dia turut mengganggu pesakit lain sebelum pergi ke tepi tingkap wad berkenaan dan cuba terjun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu disedari staf lain hospital dan cuba menyelamatkannya, namun pesakit itu akhirnya terjatuh ke aras bawah hospital.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menerima rawatan lanjut kerana cedera di badan dan muka.
Katanya, kes masih dalam siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Harian Metro