Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Ulul Azmi Lagu Nasyid Berdurasi 10 Minit, AWLA Bekerjasama Dengan Jenny Chin - "Muzik Ala Disney, Ada Sentuhan Timur Tengah"

Amri Hassan 17/09/2024 | 20:21 MYT
Kumpulan nasyid AWLA tampil dengan single terbaharu berjudul Ulul Azmi dengan durasi hampir 10 minit!
Lebih menarik, lagu berkenaan adalah hasil kerjasama AWLA bersama penerbit muzik popular, Jenny Chin.

Saujana & Nowseeheart

AWLA merupakan gabungan dua kumpulan nasyid iaitu Saujana yang terdiri daripada Suffian, Azalinor, Zuhaidi manakala Azahari dan Idzhar pula daripada kumpulan Nowseeheart.
Azalinor berkata, Ulul Azmi mempunyai elemen yang memikat kerana gabungan muziknya yang ala orkestra filem, serta menekankan kesinambungan muzik dan lirik daripada nabi-nabi terdahulu hingga ke nabi terakhir, Nabi Muhammad SAW.
"Ulul Azmi bukan sekadar sebuah lagu nasyid, tetapi ia juga sebuah perjalanan rohani dan emosi. Dengan melodi yang memukau dan lirik yang mendalam, lagu ini bercerita tentang kekuatan dan ketabahan rasul-rasul besar dalam sejarah.
"Malah kami turut terharu apabila lagu ini menarik perhatian penggiat muzik termasuk Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, dan komposer lagu Mohariz Yaakup yang berpendapat lagu ini sebagai tanda aras baru dalam industri muzik Malaysia khususnya nasyid.
"Kami juga gembira apabila susunan muzik dan vocal dalam lagu ini juga mendapat pujian daripada penerbit lagu, Azlan Abu Hassan dan Damian Mikhail," kongsinya.
Lagu ini dicipta dan ditulis oleh AWLA dan Wan Saleh, dengan Jenny Chin sebagai penerbit dan penyusun muzik serta vokal.

Muzik ala Disney

Selain mereka, turut terlibat dalam produksi ini ialah Steve Thornton (alat perkusi), Wan Gigi (gitar), JadLobo (susunan vokal), Ershad Mohd Azlan (cello solo), serta Fung Chern Hwei (viola solo).Strings orkestra pula telah dirakam oleh The Beijing International Master Philharmonic.
“Bekerja dengan Jenny Chin untuk Ulul Azmi adalah pengalaman yang sangat berharga. Ini projek nasyid yang saya paling suka selepas lebih 27 tahun dalam industri nasyid," tambah Azahari.
“Saya suka idea Jenny yang mengadunkan muzik ala Disney dengan sentuhan Timur Tengah. Ia sesuai dengan latar belakang zaman dan tempat kelahiran nabi yang diceritakan dalam lagu,” kata Zuhaidi.

Umrah pertama Jenny Chin

Sementara itu, Jenny berkata, Ulul Azmi adalah kolaborasi yang tidak mampu tolak kerana mempunyai nilai yang istimewa dan tersendiri.

“2024 adalah tahun ke-40 saya dalam muzik dan saya sangat gembira dapat melahirkan Ulul Azmi bersama AWLA. Kebetulan, saya baru sahaja menjalani umrah pertama saya awal tahun ini. Ia adalah perjalanan kerohanian yang sangat istimewa," katanya.

Untuk rekod, AWLA mula berkolaborasi dalam lagu dan persembahan sejak 2019, dengan matlamat bersama-sama untuk mencipta sesuatu yang berbeza dari lagu-lagu asal Saujana dan Nowseeheart.
Lagu ini turut disokong oleh Kementerian Komunikasi serta Kumpulan MyCreative Ventures, selari dengan prinsip-prinsip dalam Rukun Madani yang menekankan sifat ihsan, kemampanan, dan keyakinan yang boleh kita pelajari dari kisah-kisah Rasul Ulul Azmi.
#Viral #Disney #Lagu #Saujana #Nasyid #NowSeeHeart #AWLA #Jenny Chin #Timur Tengah #Ulul Azmi
;