Umie Aida Lebih Fokus Majlis Ilmu - “Alhamdulillah, Saya Makin Seronok”
Pelakon, Datin Seri Umie Aida, 50, kini lebih selesa memberikan fokus pada penganjuran majlis ilmu di bawah pertubuhan kendaliannya, Musollah Aisya.
Menurut Umie, dia mula merasakan kemanisan mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Namun pada masa yang sama, dia masih lagi mengisi masa lapang dengan lakonan.
“Alhamdulillah saya makin seronok dengan rezeki yang Allah beri untuk menganjurkan majlis ilmu. Musollah Aisya sudah berusia tiga tahun, yang mana saya usahakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
“Menerusi Musollah Aisya, saya banyak menganjurkan majlis ilmu yang terbuka untuk orang ramai datang, tapi ia lebih fokus pada muslimat.
“Musollah Aisya adakan majlis yang ringkas, tidak berat untuk orang ramai, ilmu yang dipelajari menerusi majlis ini adalah ilmu asas.
“Tapi dalam masa mengusahakan itu, saya juga perlahan-lahan kembali berlakon, yang mana saya akan tampil menerusi tiga drama iaitu Mak Cun, Terlanjur Cinta dan Lelaki Melayu Terakhir,” katanya ketika ditemui Gempak.
Dalam pada itu, Umie juga mengharapkan agar dirinya terus istiqamah untuk menganjurkan lebih banyak majlis ilmu bagi memudahkan ramai memahami dan melengkapkan diri dengan ilmu agama.
“Alhamdulillah, istiqamah bukan kerja senang terutamanya dalam industri ini. Bila kita tahu kelemahan diri kita, kita akan lebih mendekatkan diri dengan mereka yang sering menghadiri majlis ilmu.
“Kalau hanya berlandaskan industri saja, kita akan goyang, sama seperti saya yang mudah goyang. Kita bukan kuat, bila diuji, kita akan cepat terjatuh.
“Antara satu istiqamah yang kita boleh buat adalah dengan memaksa diri. Paksa diri ke arah kebaikan dan bergaul dengan mereka yang baik.
“Jadi bila kita pergi ke majlis ilmu, apa yang kita tak tahu, kita belajar jadi tahu. Bila kita tahu maka kita tidak buat.
“Bila kita tak tahu, kita ambil sambil lewa mengenai peranan dan tanggungjawab kita. Bukanlah saya cakap kita kena 100 peratus kena betul.
“Tapi bila kita tahu kita ada kelemahan, kita seimbangkan dengan dekat ke arah ini. Alhamdulillah, apa yang saya lakukan ini juga mendapat sokongan dari ramai artis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Umie kini berada di Sabah menganjurkan sebuah majlis ilmu di sana dengan kerjasama usahawan kosmetik, Datuk Seri Alha Alfa serta barisan selebriti tempatan seperti Neelofa dan Zizi Kirana.