Hiburan
Umum Kematian Demi Publisiti Murahan, Poonam Pandey Boleh Disumbat Ke Penjara
Seperti yang dijangka banyak pihak, berita kematian model dan pelakon Poonam Pandey hanya gimik murahan.
Pandey dikatakan telah meninggal dunia pada 2 Februari lalu kerana menderita kanser serviks.
Dan jangkaan tersebut tepat apabila wanita itu serta pihak agensi tampil meminta maaf sehari selepas menyampaikan khabar duka tersebut.
Mereka mendakwa gimik Pandey meninggal dunia kerana kanser serviks adalah sebagai satu pelan yang dibuat untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit yang banyak meragut nyawa wanita.
“Ini saya, Poonam Pandey dan saya masih hidup. Saya tidak mati kerana kanser serviks.
“Tapi sedihnya ada ribuan wanita yang meninggal dunia kerana kanser serviks,” katanya yang menegaskan publisiti yang dibuat adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut.
Penjelasan mereka bagaimanapun disifatkan sebagai tidak wajar kerana berkaitan kematian dan ‘memilih’ kanser serviks sebagai subjek yang menyebabkan Pandey meninggal dunia pada usia agak muda iaitu 32 tahun.
Ramai yang mahu wanita itu ditahan dan menerima denda di atas perbuatan tidak sensitif dan sanggup memalsukan kematian demi publisiti murahan.
Malah Indiaglitz melaporkan jika didapati bersalah, Pandey boleh dikenakan denda yang cukup lumayan selain berdepan penjara lima tahun.