Laman Utama
Umum Nama Anak Lelaki, Paris Tertarik Dengan Simbolik Phoenix
Paris Hilton dan suaminya, Carter Reum baru dikurniakan anak pertama pada bulan lalu.
Bayi lelaki tersebut dilahirkan dengan kaedah ibu tumpang.
Setelah mengumumkan berita gembira tersebut, selebriti itu kini berkongsi nama yang telah diberikan kepada anak mereka menerusi episod terbaharu podcast This Is Paris.
“Nama bayi lelaki saya ialah Phoenix Barron Hilton Reum. Dia sangat sempurna. Adalah sebuah perasaan yang sangat luar biasa menjadi seorang ibu,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Bintang itu kemudian bercerita mengenai kisah di sebalik nama anaknya yang agak panjang dan unik yang dimuatkan dalam biografi miliknya berjudul Paris.
“Jika semuanya berjalan lancar, pada saat anda membaca ini, saya dan Carter akan memiliki seorang bayi lelaki.
“Kami bercadang memberi dia nama Phoenix, nama yang telah saya fikir dan simpan sejak setahun lalu sewaktu mencari nama kota, bandar dan negara dalam peta. Saya mencari sesuatu seperti Paris dan London,” kongsi Paris.
Kata Paris, nama Phoenix difikirkan jika mereka memiliki anak perempuan. Dia terpegun dengan simbolik yang ada di sebalik nama Phoenix.
“Sebab pada saya Phoenix memiliki banyak budaya yang menarik, tapi sebenarnya ia tentang seekor burung yang bangkit dari abu dan kembali terbang tinggi.
“Saya mahu anak lelaki saya tahu dan dapat berhidup dalam dunia yang keras tetapi tetap mampu bertahan,” jelas perempuan berusia 42 tahun itu.
Untuk pemilihan nama Barron pula kata Paris ia diambil sempena memperingati mendiang datuk dan mentornya, Barron Hilton. Magnet bisnes itu meninggal dunia pada usia 91 tahun pada 2019.
“Saya sangat memandang tinggi terhadap datuk dan rapat dengannya. Saya rindukan dia dan mahu memberi penghormatan dengan memilih namanya menjadi nama anak lelaki pertama saya,” kata Paris yang berkahwin dengan Carter pada November 2021.