Laman Utama
"Untung Shuib, Ada Bidadari...Ada Sahabat" - Ramai Puji Semangat Setia Kawan Rahim Terhadap Shuib
Khabar duka pemergian penyanyi Siti Sarah sememangnya mengejutkan ramai pihak.
Malah, platform media sosial masih belum berhenti dengan ribuan ucapan takziah dan para sahabat dan peminat yang mendoakan Allahyarhamah.
Ketika pengebumian Siti Sarah pada Isnin, anggota Sepahtu, Rahim turut kelihatan memakai persalinan PPE bagi membantu Shuib dan pasukan pengurusan jenazah menyempurnakan proses pengebumian.
Menerusi tinjauan Gempak di perkongsian Rahim di Instagram, orang ramai memuji sikap setia kawan dan sokongan yang diberikan Rahim terhadap Shuib.
"Terima kasih sebab teman sahabat awak," tulis @zarinazainoordin.
"Terima kasih Rahim menemani rakan seperjuangan," tulis @farahwalludin.
"Rahim teman, bahagianya Syuib dapat sahabat sanggup teman susah senang, untung Shuib, ada bidadari...ada sahabat," tulis @anna_syed.
Sementara di ruangan kapsyen, Rahim menulis kata-kata semangat dan berharap agar Shuib tabah menghadapi pemergian isteri tercinta.
"Percaya atau tidak, kebahagiaan dan kesedihan dalam kehidupan itu akan silih berganti.Sekuat mana pun kau jaga, yang pergi tetap pergi.
"Terkadang pertemuan dan perpisahan terjadi terlalu cepat tapi percayalah kenangan dan perasaan kekal selamanya. Beberapa orang akan pergi dalam hidupmu tapi bukan bererti kisahmu berakhir, yang berakhir hanyalah bahagian mereka dalam kisah hidupmu.
"Hanya yang benar-benar meninggalkan jejak dihatimu akan benar-benar kekal diingatanmu. Semoga kau terus tabah @shuibsepahtu," coretnya.
Jenazah Allahyarhamah Siti Sarah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak kira-kira jam 1.45 petang, Isnin.
Terdahulu, Siti Sarah bertarung nyawa akibat COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus pada malam Jumaat, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi dan menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus pada Ahad.
Namun ketika bacaan yasin secara maya menerusi aplikasi Zoom malam Ahad, suami Allahyarhamah, Shuib memaklumkan paras oksigen Siti Sarah jatuh sehingga paras 30 peratus.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.
Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, juga disahkan positif.
Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
#Siti Sarah
#Meninggal Dunia
#Shuib
#Rahim Sepahtu
#Sahabat
#Bantu
#Pengebumian Siti Sarah
#Setia Kawan