Laman Utama
Urusan Beli Tanah Tangguh Sejak 2016, Abby Abadi Nak Kembali Duit RM160,000 - Minta Netizen Bantu "Kuasa Netizen Kuasa Keramat"
Pelakon Abby Abadi, 44, enggan mendiamkan diri lagi selepas urusan pembelian tanah yang dilakukan bersama seorang individu tertangguh sejak tahun 2016.
Menurut Abby, perancangan asalnya adalah untuk mendirikan rumah di tanah yang berharga RM160,000 itu namun terpaksa dilupakan.
"Saya tak tahu nak kata macam mana perasaan saya sekarang ini.. Tak pernah sangka, akan berurusan dengan manusia yang putar alam macam Maslan Urmin ni.
"Sekejap cakap lain, sekejap cakap lain pulak.. Sudahnya hampir lima tahun berlalu, tak juga selesai lagi.
"Saya diam ja sebelum ini. Ada dalam group baca ja perbualan antara pembeli-pembeli lain yang menjadi mangsa juga. Nak buat itu, nak buat ini.
"Bukan sikit duit saya beli tanah ni, RM160,000 tu, masa 2016 dulu. Itu ja yang ada. Mak bantu juga, agar anaknya ada harta. Impian konon nak beli tanah, nak buat rumah sebab kita ni anak ramai. Biarlah ada jaminan untuk jangka panjang tapi macam kena main pula.
"Tawar hati dah nak beli tanah yang entah apa cerita ini. Kalau tak saya tak halalkan dunia akhirat," tulisnya.
Tambah pemilik nama Arbaiyah Abdul Manan ini, dia sudah tidak mampu untuk bersabar lagi memandangkan perkara tersebut sudah berlanjutan selama lima tahun.
Tegasnya, dia hanya ingin menuntut hak supaya duitnya dikembalikan semula.
"Saya tak mampu dah nak bersabar dah. Siang malam senget-senget saya cari rezeki untuk membesarkan anak-anak, jual itu jual ini.
"Sekarang saya tak nak dah tanah yang dibeli tak dapat tu. Saya nak duit saya balik!!! Saya akan minta maaf pada mereka sebab gunakan media sosial untuk nak selesaikan hal ini, tapi saya tiada pilihan. Saya nakkan hak saya balik.
"Jangan pusing-pusing sangat! Salah orang ni. Jiwa kepolisan dalam diri ini kuat. Akan cari sampai ke akar umbi. Lama dah saya sabar. 2021 masa untuk dapatkan hak saya balik," tulisnya lagi.
Berdasarkan informasi daripada kalangan warganet, individu yang dicari Abby adalah ayah kepada lapan adik beradik yang baru-baru ini viral di Seksyen 19, Shah Alam kerana menyediakan barangan keperluan untuk diagihkan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
"Kuasa netizen kuasa keramat. Alhamdullillah keluarga Maslan Urmin keluarga yang baik rupanya. Rajin bersedekah.
"Baru ja viral mereka 8 beranak beri bantuan pada yang memerlukan ya? Saya pun baru tahu. Ya Allah! Syukur dapat kenal dan nak jumpa sangat supaya perjanjian saya dengan abah mereka ni selesai dengan baik di dunia ini.
"Tolong temukan saya dengan keluarga ini. Saya boleh dapatkan surat polis untuk ke Shah Alam. Bagi ja tarikh dan masa, berdesup saya sampai," tulis Abby.