Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Urusan Permohonan Rumah PPR Berjalan Lancar, Zaiton Sameon: "Kemungkinan Dapat Menginap Di Situ Tidak Lama Lagi"

Mya Amri 08/04/2024 | 02:55 MYT
Penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon, 68, terharu apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sanggup meluangkan masa untuk menziarahi rumahnya.
Menurut Zaiton, dia tidak menyangka kepayahan hidup serta masalah kesihatan yang dialami sejak beberapa tahun lalu mendapat perhatian Fahmi Fadzil yang hadir bersama wakil agensi di bawah kementerian untuk menyalurkan bantuan.
“Paling saya tak sangka apabila Menteri Komunikasi sendiri datang ke rumah saya untuk menyantuni dan menghulurkan sedikit bantuan.
“Saya sangat berterima kasih kerana masih ada yang prihatin dengan artis bernasib malang seperti saya.
“Saya merasakan lagu sendiri memang ada kena mengena dengan jalan hidup yang dilalui dan kadang-kadang terfikir orang ramai sudah lupa ke saya.
“Tapi, bila tiba-tiba menteri datang hendak berjumpa, ia satu penghormatan kepada saya,” katanya.
Zaiton berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 2024 bersama Menteri Konunikasi, Fahmi Fadzil di kediamannya di Apartmen Sri Baiduri, baru-baru ini.
Yang turut hadir adalah Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Muttalib bagi menyantuni Zaiton termasuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan makanan.
Mengulas kehidupannya ketika ini, Zaiton berkata, dia terkejut apabila menteri sendiri meluahkan hasrat untuk membantunya mendapatkan tempat dalam mana-mana program nyanyian.
“Saya terkejut semasa berbual dengan menteri, dia ada menyatakan hasrat untuk membantu mengembalikan populariti saya sama seperti dahulu.
“Saya juga berharap suata masa nanti dapat dipanggil semula ke stesen televisyen (TV) untuk membuat persembahan. Sebab bagi saya, dapat muncul di TV itu sangat penting.
“Orang ramai pun boleh tengok yang saya ini masih boleh menyanti kalau keluar TV. Saya masih boleh menyanyi dan buat persembahan.
“Namun, ada juga rasa terkilan bila TV sudah lama tak panggil. Sekurang-kurangnya saya herharap ada lagu yang panggil sebagai artis undangan. Kali terakhir muncul di TV sewaktu Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 di TV3,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai usahanya untuk mendapatkan bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, Zaiton memberitahu, prosesnya berjalan lancar.
“Setakat ini, bantuan untuk dapatkan bantuan perumahan itu masih dalam proses. Tapi, saya sudah dimaklumkan bakal mendapat PPR Sri Aman Jinjang, Kepong, Kuala Lumpur.
“Permohonan sudah lama dibuat, cuma baru-baru ini sahaja saya ada hantar beberapa dokumen tambahan. Jadi, kemungkinan saya akan dapat menginap di situ tidak lama lagi,” ujarnya.
Buat masa ini, Zaiton menumpang dengan anak angkatnya, Che Sikah Ismail atau Ika, 48, dengan menyewa rumah di Apartmen Sri Baiduri dengan harga RM1,000 sebulan.
Terdahulu, pada 14 November 2022, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.
Ia susulan kemalangan ngeri yang menimpanya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.
Zaiton dilaporkan parah di bahagian kepala hingga menyebabkan hilang ingatan sementara.
#FINAS #PPR #Fahmi Fadzil #Bantuan #Zaiton Sameon #Menteri Komunikasi #Projek Perumahan Rakyat
;