Laman Utama
Uyaina Tak Peduli Dilabel ‘Terpaling Ibu’ & ‘Terpaling Tahu’ Kerana Sering Kongsi Tips Keibubapaan
Mendirikan rumah tangga dengan Raja Shahiran pada Disember 2021 dan selamat menimang cahayamata pertama yang diberi nama Raja Urhan pada September 2022, Uyaina Arshad menjadi salah seorang ‘ibu baru’ yang sering berkongsi pengalaman dan tips berkaitan keibubapaan di platform media sosial.
Meski ramai yang berminat dengan perkongsian yang diberi, tidak kurang juga ada segelintir netizen yang melabel dirinya seperti ‘terpaling ibu’ dan terpaling tahu tentang ilmu rumah tangga dan juga keibubapaan.
Saat diajukan media mengenai label yang diberi, sambil ketawa Uyaina mengaku tidak begitu ambil peduli tentang komen negatif yang dilemparkan kepadanya. Kata Uyaina sebagai manusia, berbuat sesuatu atau tidak berbuat apa-apa, tetap menjadi buah mulut orang.
“Sejujurnya saya abaikan dan tidak berapa ambil peduli jika ada yang kata saya ‘terpaling tahu’ atau ‘terpaling ibu’.
“Kita buat atau tak buat orang tetap akan berkata selagi tidak kena dengan selera mereka. Pada saya, yang penting anak saya sihat dan semua ibu mahu yang terbaik untuk anak masing-masing.
“Nak cakap saya ‘terpaling ibu’ atau ‘terpaling tahu’, terpulang sebab saya cuma ingin berkongsi pengalaman dan kisah kerana percaya masih ramai yang inginkan perkongsian seumpama ini,” katanya panjang lebar.
Pada masa sama, hos dan pelakon itu turut memberi perkembangan terkini tentang masalah tongue tie atau lidah pendek yang dialami Urhan sejak lahir.
Selepas pernah menggunting sedikit bahagian bawah lidah untuk mengurangkan masalah tounge tie, Uyaina dan suaminya memutuskan untuk tidak meneruskan pembedahan seperti diusulkan pakar perubatan.
“Selepas potong sedikit bahagian bawah lidah, Urhan masih mengalami tongue tie dan doktor ada sarankan agar menjalani pembedahan.
“Tapi selepas berbincang dengan Shahiran, kami memutuskan untuk tidak melakukan pembedahan kerana apa yang paling penting Urhan sihat.
“Walaupun dia kini minum susu formula, saya lihat perkembangannya baik, dia sihat dan berat badan sesuai usia, itu cukuplah,” katanya positif.