Laman Utama
Vanidah Imran Kongsi Pengalaman Nikah Kali Kedua: “Abah Kata No, Usia Awak Tak Sesuai Kahwin Lagi…”
Aktres yang wajahnya kini kembali ‘berlayar’ di kaca televisyen lewat drama Kudeta, Vanidah Imran mengaku kehidupan selepas kembali mendirikan rumah tangga pada Julai lalu berjalan baik.
Pernikahan di antara Vanidah, 49, dengan Arifabillah Idris, 43, adalah yang kedua kali bagi pasangan ini.
Di sebalik cinta yang berputik dan mekar untuk disulam secara sah sebagai suami isteri, Vanidah yang akrab disapa Vee menceritakan kisah lucu di sebalik perjalanan menuju hari pernikahan mereka.
“Sejujurnya perkenalan kami sehingga ingin menikah memakan masa dan mengambil proses yang banyak.
“Ini kerana kami berdua sudah punya anak dan saya perlu pastikan emosi anak anak kami okay, apa lagi hubungan dengan anak sangat rapat.
“Memang betul kalau ikut hukum mak tak perlu tanya atau minta izin kepada anak anak tentang kehidupan untuk berkahwin lagi misalnya.
“Tapi saya ikut hukum psikologi, apa lagi pada zaman kini. Saya mahu dengar pandangan anak lelaki Mikail Aimran serta anak perempuan, Maryam Rashika dan mereka okay,” kata Vee eksklusif kepada Gempak.
Akui Vee, beliau berasa proses pernikahan kedua kalinya ini lebih sukar berbanding sewaktu menikah pada usia muda bersama bekas suaminya, aktor Rashidi Ishak.
Hal yang membuat dirinya terkejut adalah bagaimana sukar meyakinkan ayahnya, untuk memberi ‘lampu hijau’ buat dia kembali mendirikan rumah tangga.
“Saya ingat lagi, bila beritahu Abah ada orang nak melamar, beliau soal saya; ‘anak awak okay tak? Saya jawab okay, tapi dia tak puas hati sebab nak dengar dari mulut anak anak sendiri.
“Jadi bawalah jumpa Abah, saya fikir saya ni dah 40 lebih, tapi macam nak mula hidup baharu. Banyak semua orang kena ambil buah fikir, abah sangat concerned.
“Dia tanya adik-beradik saya, anak anak saya dia tanya: “Are guys agreeable? Saya duduk sebelah diam saja. Proses ini panjang, bukan keputusan saya seorang, tapi semua,” katanya sambil tertawa kecil.
Pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu kemudian menyambung.
“Abah memang kata, no no no, tak boleh kahwin, bukan pada usia awak sekarang nak berkahwin lagi. Saya mengadu pada abang dan abang cakap pada abah, tak ada limitasi usia untuk berkahwin,” kenangnya.
Meski demikian dengan tegas, kata Vee, itu bukan bermaksud ayahnya tidak merestui pernikahannya dengan pesilat negara tersebut.
Cuma apa yang mahu disampaikan bintang filem Perempuan Melayu Terakhir tersebut adalah pengalaman mendirikan rumah tangga pada usia yang lebih ‘matang’ dengan telah menempuh ranjau dan onak perkahwinan lampau memerlukan persediaan mental yang lebih rapi.
“Dengan pengalaman masing masing, kami tidak terfikir dari hubungan baik membawa kami kembali ke institusi perkahwinan.
“Sebab itu saya kata prosesnya lebih panjang dan memang ada kebimbangan kerana untuk meneruskannya nanti yang penat diri sendiri, banyak emosi untuk dijaga.
“Ia juga proses untuk saya. Masa muda kita kahwin, kita bincang lebih kurang, nikah. Tapi bila kami dah punya pengalaman hidup, kami open table dan minta pandangan semua untuk dapat restu.
“Tak sangka yang paling concern saya nak kahwin semula adalah ayah. Namun setelah itu semuanya berjalan lancar.
“Dan saya juga bersyukur kehidupan hari ini berjalan baik. Hubungan saya dengan bekas suami juga tidak bermasalah,” ujar Vee.
Terdahulu, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu selamat berkahwin bersama Arifabillah dengan dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di Titiwangsa pada Julai lalu.
Majlis pernikahan pasangan berkenaan dikendalikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran jam 12.12 tengah hari.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.