Laman Utama
[VIDEO] Gara-Gara Kenyataan Mahu Sembelih Orang Bukan Islam, Zul Huzaimy Tampil Mohon Maaf
Disebabkan mengeluarkan kenyataan mahu menyembelih orang bukan Islam dalam satu sesi ceramah yang diadakan di Terengganu pada 4 November lalu, pelakon Zul Huzaimy tampil membuat permohonan maaf.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, Zul berkata, dia bukanlah individu yang terlalu ekstrim dan meminta orang ramai untuk mendengar kembali video ceramah dalam durasi panjang untuk mendapat lebih kepastian.
“Janganlah salah anggap berdasarkan klip video yang pendek sebab klip video berkenaan gambarkan kenyataan yang kurang tepat.
“Saya sebut orang bukan Islam (kafir zimmi) perlu dijaga sebaiknya sebab mereka juga menyokong pemerintahan Islam di negara ini. Mereka juga baik dan pemimpin beragama Islam wajib menjaga mereka.
“Kafir harbi (yang disebut dalam video) merupakan musuh Islam yang nyata, maksud saya di sini ialah mereka yang bukan beragama Islam dan benci Islam, suka perkauman dan buat hal sehingga tidak membenarkan azan dilaungkan terlalu kuat di sesetengah tempat.
“Saya juga ada dapat satu video, yang menunjukkan ada sekumpulan pemain gendang di Pulau Pinang, bergendang dengan kuat di depan sebuah masjid, sedangkan orang Islam sedang azan Isyak dan solat Isyak.
“Perkara sebegini yang kita perlu faham, yang saya maksudnya golongan non-Muslim yang segelintir ini, kena faham di situ,” katanya.
Zul berkata, dia mempunyai sahabat yang berbilang kaum dan sukakan kedamaian dan saling menghormati antara satu dengan lain.
“Saya tidak terlalu ekstrem atau suka bergaduh. Arwah mak cik saya pun seorang Cina beragama Islam, begitu juga kawan saya Adam Corrie juga kaum Cina yang beragama Islam.
“Apa yang saya maksudkan bila ada sesetengah pihak yang cuba memanaskan keadaan dengan membenci Islam sebagai agama rasmi Malaysia, itu maksud saya.
“Saya pun tak sokong mana-mana kumpulan Islam yang ekstrem nak membunuh sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang negara, saya pun tak sokong begitu,” tutupnya.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!