Laman Utama

[VIDEO] Lirik Lagu Casablanca Salah Tatabahasa? Cikgu Zack: “Untuk Jantung Kita Pakai Degup, Bukan Denyut”

Izwan Isa
22/07/2022
01:50 MYT
Sponsor Banner
[VIDEO] Lirik Lagu Casablanca Salah Tatabahasa? Cikgu Zack: “Untuk Jantung Kita Pakai Degup, Bukan Denyut”
Pelbagai respons dapat kita lihat sejak lagu Casablanca diluncurkan beberapa minggu lalu. Baik positif mahupun negatif, respons-respons yang diterima sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa lagu nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin itu diterima dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, baru-baru ini, lagu ciptaan Daqmie dan Wan Saleh serta lirik Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu sekali lagi meraih perhatian apabila guru selebriti, Cikgu Zack Kirana Ibrahim menegur kesalahan tatabahasa dalam lirik Casablanca.
Menurut Cikgu Zack, penggunaan perkataan ‘denyut’ yang digunakan pada pangkal lirik bahagian korus lagu Casablanca adalah tidak tepat. Kongsinya, perkataan tersebut seharusnya digantikan dengan perkataan ‘degup’.
@zackkirana27 DENYUT JANTUNG atau DEGUP JANTUNG? Cikgu stres sebab cikgu dah tersuka lagu ni tapi imaginasi merosakkan segala-galanya. #fyp #fypシ #denyutjantungkuberdebar #cikguzackkirana #zackkirana #casablanca ♬ original sound - zack kirana
“Ya, untuk jantung, kita pakai degup, bukan denyut. Saya fikir mungkin jantung dia, skala richter rendah kut. Atau pun mungkin kedudukan jantung dia berada dekat bahagian kepala, mungkin bahagian nadi, di pergelangan tangan,” ulas Cikgu Zack secara berseloroh menerusi video yang dimuat naik di TikTok.
Dalam pada itu, Cikgu Zack turut menjelaskan yang pelanggaran hukum tatabahasa kadang-kala dibenarkan dalam penulisan kreatif seperti puisi atau lirik lagu.
“Memang betul penulisan kreatif seperti puisi, lirik lagu dan sebagainya ada sedikit kebebasan untuk melanggar hukum tatabahasa. Tetapi awak kena tahu yang kita langgar hukum tatabahasa itu adalah perkara yang biasanya tidak boleh dibayangkan.
“Contohnya, penggunaan kata sendi nama ‘di’. Ada lirik lagu raya dia tulis ‘Di hari raya’ yang sepatutnya ‘Pada hari raya. Sebab ‘di’ kita tak dapat bayangkan jadi tiada masalah. Lagi satu mencintai jadi menyintai.
“Tapi kalau yang melibatkan kata nama dan juga kata kerja, perkara yang boleh kita bayangkan dan kalau kita salah pilih perkataan itu, dia akan bagi bayangan yang berbeza kepada jalan cerita lagu tersebut.
​“Denyut dengan degup, berbeza. Jadi bila saya bayangkan jantung dia berdenyut… macam nyut nyut macam tu. Risau saya, takut dia ada masalah lemah jantung. Kita kena kejarkan dia ke hospital. Tapi saya suka lagu ni,” ujar Cikgu Zack.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar