Laman Utama

[VIDEO] "Mungkin Rezeki Saya..." - Andi Bernadee Beruntung Lagu Baharu Dapat Sentuhan Komposer Amerika Syarikat

Amri Hassan
29/08/2022
11:42 MYT
Sponsor Banner
[VIDEO] "Mungkin Rezeki Saya..." - Andi Bernadee Beruntung Lagu Baharu Dapat Sentuhan Komposer Amerika Syarikat
Kalau disebut penyanyi yang sering mendendangkan lagu-lagu berentak reggaeton, nama Andi Bernadee pasti tidak lari, terkini, beliau hadir dengan single terbaharunya berjudul ‘Aku Di Sini’ yang pasti menjanjikan kelainan.
Lagu terbabit menariknya merupakan hasil ciptaan komposer Robert Gerongco, Andrew Peterson Briol, Mas Dewangga, Jova Devito, Mekar dan Andi sendiri.
"Alhamdulillah, setelah hampir 5 bulan single DU dilancarkan dengan sambutan yang agak memberangsangkan, kini saya kembali dengan single Aku Di Sini pula.
"Tidak saya nafikan, sambutan terhadap DU tidaklah sehebat lagu-lagu yang terdahulu, namun saya tetap optimis," jelas jejaka berusia 30 tahun ini.

Komposer sama dengan Bella Poarch

Istimewanya pada single kali ini, Andi berpeluang menyanyikan sebuah karya yang dicipta oleh komposer dari Amerika Syarikat yang mencipta lagu buat penyanyi antarabangsa iaitu Bella Poarch.
"Mungkin ini rezeki saya dapat merasai menyanyikan lagu ciptaan komposer terkenal dari US.
"Pihak Warner yang bertanggungjawab mendapatkan lagu tersebut dan bila saya dengarinya, saya suka akan melodinya, jadi kami duduk bersama dan berbincang untuk mencipta liriknya," tambah Andi lagi.

Aku Di Sini rentak slow pop

Mungkin ramai penggemar muzik di luar sana beranggapan yang single Andi seterusnya pasti dalam genre reggaeton lagi, tetapi ‘Aku Di Sini’ ternyata berbeza serta mebawa kelainannya yang tersendiri kerana berentak pop perlahan yang jarang-jarang dibawakan oleh Andi.
"Pada kali ini, saya menyanyikan lagu berentak slow pop yang santai serta lite and easy, manakala instrumen yang digunakan hanyalah gitar.
"Lagu ini umum untuk sesiapa sahaja yang pernah melaluinya, ia mengisahkan tentang penyesalan seseorang di atas apa yang telah dilakukan pada bekas kekasihnya dan berharap agar bekas kekasihnya itu terbuka hati untuk kembali ke pangkuannya.
"Saya mengambil masa selama 2 jam untuk merakamkan lagu ini dan proses tersebut berlangsung ‘sekali jalan’ sahaja kerana terlebih dahulu saya sudah mengkaji dan menyelami maksudnya," tambahnya.

Andi sukar cari pendapatan

Sebagai anak seni, Andi turut terkesan dengan pandemik COVID-19 yang telah berlaku, segala aktiviti seni terpaksa dihentikan sehingga sukar baginya untuk mencari pendapatan.
"Kebanyakan kerja seni melibatkan acara berkumpulan yang besar, jadi kesemua acara pentas terpaksa dibatalkan.
"Waktu itu sangat sukar untuk kami para artis untuk bekerja dan meneruskan kehidupan," kongsi Andi yang masih lagi dalam penggambaran drama bersiri ‘Melastik Kehatimu 2’ bersama penyanyi dan pelakon popular, Janna Nick dan Shiha Zikir.

Aksi ganas Andi Bernadee

Setiap video muzik (MV) Andi terdahulu, masing-masing mempunyai konsep dan jalan cerita yang menarik, kali ini konsepnya lebih dramatik dengan jalan cerita yang yang menyayat hati.
"Penonton berpeluang melihat saya beraksi ganas dalam MV nanti yang menyebabkan saya cedera parah pada penghujungnya dan kalau hendak tahu bagaimana ‘tragedi’ itu berlaku, jangan lupa tonton MV-nya nanti," kata Andi.
Andi bermula dengan nyanyian sadurannya yang kemudiannya tular di serata media sosial, walaupun nasib tidak menyebelahinya ketika bertanding di sebuah rancangan realiti TV, bintangnya kini semakin menyinar dengan lagu-lagu berentak reggaeton yang dinyanyikannya.
"Saya sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baharu dan segar yang boleh diterima oleh semua golongan, namun masih banyak yang ingin saya lakukan, jadi harus sabar dan satu persatu.
"Semoga lagu ini diterima ramai, dan saya meletakkan harapan yang tinggi kerana ini merupakan lagu pertama saya yang berkonsepkan slow pop, lain dari yang sebelumnya, diharapkan semua yang mendengarnya dapat terima dan terhibur," akhiri Andi menutup bicara.
Lagu ‘Aku Di Sini’ boleh dimuat turun di iTunes mulai 26 Ogos 2022 dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton oleh peminat secara eksklusif di saluran YouTube Andi Bernadee.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar