Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

[VIDEO] "Tak Adalah Sampai Tua Nak Menyanyi" - Salwa Abdul Rahman

Amri Hassan 20/06/2022 | 06:38 MYT

Datin Salwa Abd Rahman kembali dalam Makna, kolaborasi dengan rapper Red Rahimad

Penyanyi era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman, 57, bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air. Dia juga bertaraf legenda. Baktinya kepada dunia seni suara tak perlu dicerita. Terlalu banyak.
Bakatnya mula dicungkil apabila dia menyertai pertandingan Bintang Radio Pujaan Negeri Johor 1985 yang mana ketika itu Salwa berusia 19 tahun. Selepas itu, beberapa lagi siri pertandingan disertai Salwa hinggalah dia dilamar menjadi penyanyi rakaman.
Bukan satu dua lagu dan album dilancarkan, tapi ada deretan karya yang dihasilkan hingga kekal ‘evergreen’ selain masih menjadi siulan peminatnya.
Memiliki suara lunak merdu adalah ciri khas Salwa atau yang mesra disapa Kak Wa. Biarpun usianya mencecah enam dekad, lantunan vokalnya itu tetap sama sekali gus menjadikan Salwa Abd Rahman tiada duanya.
Kali terakhir Salwa juga isteri kepada bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz muncul dengan lagu adalah enam tahun lalu menerusi single I Miss You.
Terbaharu, Salwa kembali memeriahkan industri muzik dengan lagu dan muzik yang lebih segar berjudul Makna hasil ciptaan sepenuhnya oleh Red Rahimad, Pown Hasril, Otromen, Aman Nassim dan Ariff Peter.
Menariknya, lagu yang diterbitkan oleh syarikat rakaman COF Music itu turut menampilkan Salwa berkolaborasi dengan penyanyi dan rapper muda Red Rahimad.
Salwa berkata, kemunculannya menerusi lagu Makna adalah rezeki selain menyifatkan kolaborasi bersama Red Rahimad satu lagi pengalaman baharu buat dirinya.
“Kata orang rezeki memang tak salah alamat. Sebenarnya saya dah mula nak kurangkan pembabitan dalam bidang seni ini selain sudah kurang berminat nak keluarkan album atau lagu sebenarnya. Tapi, anak saudara saya iaitu Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim yang nak sangat saya untuk keluarkan lagu terbaharu bersama dengan Red Rahimad.
“Jadi, semangat itu datangnya daripada anak saudara saya sebenarnya. Kalau pada saya semangat untuk menyanyi tu sudah 50/50 tapi saya tetap buat 'show'. Bila dah diberikan lagu dan lirik, saya tengok macam sesuai dengan jiwa walaupun ada penyanyi rap di situ. Tapi saya di bahagian yang lain iaitu dangdut.
“Lagu ini ada rentak latin pop dan dangdut sikit. Rasanya ia bersesuaian dengan saya. Pada mulanya saya ingat kena rap dan tak tidur satu malam tapi rupanya tak ada. Jadi inilah bahagian saya dan hip hop pula Red Rahimad. Saya rasa teruja bila diundang untuk bernyanyi bersama Red Rahimad. Ia satu percubaan baharu dan kelainan dalam hidup,” katanya.
Sekian lama tidak berada di studio, Salwa mengakui sedikit ‘gabra’ ketika proses rakaman dijalankan.nPun begitu, Salwa menjadikan kepercayaan diberikan untuk merakamkan lagu Makna bersama Red Rahimad sebagai peluang yang tidak boleh dipersia.
“Bila dah dapat lagu, lirik dan melodinya rasa terujalah pula. Saya pun memang lama tak masuk studio jadi gabra itu tetap ada. Tapi disebabkan ada kerjasama daripada penerbit, pencipta lagu dan anak saudara semangat itu datang balik. Kadang-kadang sebagai penyanyi ini bila dah masuk studio, semangat itu dah jadi lain. Jadi saya buat sebaik yang mungkin sebab dah diberikan kepercayaan.
“Pada saya ia satu pembaharuan bila kita bergabung dengan penyanyi rap ini. Jadi saya ada rasa ingin nak mencuba, cuma saya tak nak ambil yang rap itu sebab tak bersesuaian dengan jiwa. Saya suka dengar, tapi nak menyanyi genre itu memang tak sesuai dengan saya. Alhamdulillah rakaman berjalan dengan baik dan tak memakan masa yang lama. Ia disebabkan rentak lagu ini dangdut hiphop berunsurkan latin pop jadi genre itu sama sahaja macam dangdut cuma dia ada latin sikit. Pada saya ia mudah untuk menghayati lagu itu. Alhamdulillah semuanya berjalan baik.
“Begitu juga dengan penggambaran video muzik berjalan dengan baik. Kita tengoklah apa maklum balas daripada peminat. Mereka memberi harapan yang tinggi agar saya dapat bawa lagu ini dengan baik, jadi saya cuba yang termampu,” katanya.
Dalam masa sama, Salwa berterima kasih kepada suami dan anak-anak yang sentiasa menyokong kerjaya seninya dari mula sampai sekarang.
“Macam suami dia tak pernah mengongkong saya kalau nak masih nak menyanyi. Dia sentiasa memberikan saya semangat yang padu untuk meneruskan bidang seni ini. Itu salah satu sebab yang membuatkan saya gembira, tak tertekan dan anak-anak pun menggaalakkan.
“Saya buat secara sukarela dan gembira. Insya-Allah mudah-mudahan ada rezeki, kerjasama daripada pihak wartawan dan kerjasama daripada pihak radio untuk putarkan lagu ini. Mungkin sampai masanya untuk berundur, saya akan berundur. Sebab saya tak adalah sampai ke tua nak menyanyi. Saya ada sasaran sendiri dan sampai masa akan berundur.
“Kepada peminat yang masih mengikuti perkembangan saya, inilah hadiah untuk mereka yang ingin mendengarkan suara saya yang terbaharu. Semoga peminat dapat terima dengan imej dan rentak baharu ini. Terima kasih kepada yang masih bertanya di media sosial, itu tandanya saya masih diminati, alhamdulillah. Harap lagu ini memberikan makna yang baik untuk saya,” katanya.
Lagu dan video muzik Makna yang dilancarkan secara rasmi pada 17 Jun lalu sudah boleh ditonton di saluran YouTube COF Music.

#Penyanyi #Dangdut #Lagu #Datin Salwa Abdul Rahman #Makna #Red Rahimad
;