Laman Utama
[VIDEO]“Dengar Amalan Baik Arwah…”- Ebit Lew Sebak Lawat Suami, Keluarga Mangsa Maut Kereta Terbakar
Pendakwah bebas Ebit Lew, mengambil kesempatan menziarahi suami dan keluarga arwah Nurul Nazihah yang menjadi mangsa kemalangan apabila keretanya terbakar yang tular baru-baru ini.
Ebit akui sebak mendengar cerita serta amalan baik tentang arwah yang suka berkongsi nasihat agama kepada keluarganya sebelum ini.
“Sebak rasa ziarah suami, ibu bapa dan keluarga arwah Nurul Nazihah yang kemalangan kereta terbakar baru ini. Arwah dan keluarga baru seminggu balik dari Umrah dan menziarahi Nabi Muhammad saw.
“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Ya Allah ampunilah Nurul Nazihah dan hadiahkan syurga Firdaus buat Nurul Nazihah.
“Kata mereka walau kereta terbakar tetapi jenazah sempurna. Dengar amalan baik arwah. Dari remaja sehingga kahwin paling jaga solat dan suka berkongsi nasihat agama dengan keluarga. Menangis mendengar kisah baik arwah ini,” katanya.
Ebit berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya semalam.
Menerusi entri itu dia memuat naik suntingan rakaman video ketika menziarahi mereka sambil memeluk seorang demi seorang ahli keluarganya.
Dalam pada itu, Ebit memberitahu dia sempat memberi kata-kata semangat bahwa mereka orang-orang terpilih menerima dugaan berkenaan.
“Sampai tadi mereka menangis gembira terharu diziarah. Berkongsi mereka terpilih oleh Allah kerana sayang Allah pada mereka.
“Sayu lihat wajah suami, mak ayah dan adik beradik arwah. Baik-baik semuanya. Semoga terus kuat dan tabah ya. InsyaAllah jumpa semula di sana nanti dalam syurga. Amin,” ujarnya.
Kejadian yang tular beberapa hari lalu itu dipercayai berlaku selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 45, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan sebelum simpang Sedenak, Kulai, Johor.
Tangisan pilu lelaki tersebut telah dirakam oleh seorang pengguna jalan raya sebelum ia dimuat naik di laman Facebook oleh seorang individu dikenali sebagai Ridzema Naj.
Menurut individu tersebut,kejadian itu menyebabkan kereta dinaiki mangsa terbakar dan difahamkan lebuh raya ditutup sepenuhnya ketika ini oleh pihak berkuasa.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna bersimpati dengan lelaki tersebut dan mereka mendoakan agar individu itu tabah serta kuat menghadapi dugaan itu.