Laman Utama
[VIDEO]“Saya Nak Balik Juga, Dah Kebulur Masa Tu…”- Gara-Gara LRT Down, Pemuda Menapak 26KM!
Gara-gara kecoh gangguan perkhidmatan LRT, seorang pemuda, Adam Eji berjalan kaki sejauh 26 kilometer (km) dari Universiti Malaya (UM) ke kediamannya di Lembah Keramat petang Selasa.
Menerusi hantaran video di akaun TikTok, Adam menceritakan kisah itu bermula selepas dia gagal mendapatkan perkhidmatan berkenaan di Stesen LRT Kerinchi.
Dia kemudiannya memutuskan untuk berjalan kaki dari stesen tersebut ke KL Sentral bagi mendapatkan perkhidmatan itu, meskipun terpaksa mengharungi hujan yang lebat.
“LRT rosak, jadi saya berjalan kaki sejauh 26km untuk balik rumah.
“Tak kira dah, masa tu saya nak balik juga dah kebulur pula,” katanya.
Sejurus sampai di KL Sentral, Adam cuba mendapatkan kemudahan LRT di sana namun disebabkan suasana yang sangat sesak, dia kemudiannya menggunakan alternatif lain dengan menaiki Monorail ke Stesen Dang Wangi.
Seterusnya, selepas sampai ke Dang Wangi, dia sekali lagi berjalan kaki ke Stesen KLCC dan Ampang Park yang terletak berhampiran, namun perkhidmatan di kedua-dua tempat itu juga tidak dapat beroperasi.
Adam menyambung kembali perjalanannya dengan menaiki bas ke stesen LRT di Jelatek dan berjaya mendapatkan perkhidmatan tersebut untuk ke Lembah Keramat.
Ketika ditanya mengapa tidak menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi memudahkan perjalanan, dia menjawab kosnya mahal dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk menunggu.
Hantaran video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada ramai pengguna TikTok.
“Jalan kaki dekat KL (Kuala Lumpur) serius memang seronok gila,” kata pengguna bernama Jasmine Aida.
Seorang lagi pengguna bernama Asma Fras berpandangan, seandainya dia berada di tempat yang sama
dengan Adam, belum tentu dapat mengharungi cabaran tersebut.
“Kalau saya, pasti sudah menangis dan akan menghubungi ayah," ujarnya.