Laman Utama
Vokalis The Wanted, Tom Parker Meninggal Dunia Akibat Barah Otak
Vokalis band popular The Wanted, Tom Parker meninggal dunia pada Rabu selepas hampir dua tahun bergelut dengan kanser otak.
Perkara itu disahkan oleh isterinya, Kelsey Hardwick menerusi hantaran terbaharu di Instagram.
"Dengan dukacitanya kami mengesahkan Tom telah meninggal dunia hari ini di samping keluarga tercinta.
"Hati kami luluh, Tom benar-benar bermakna dalam hidup kami dan kami tak dapat bayangkan bagaimana untuk meneruskan kehidupan tanpa senyumannya.
"Kami berterima kasih atas kecintaan dan sokongan semua sepanjang perjuangannya melawan kanser," katanya.
Parker, 33, disahkan menghidap kanser otak pada Oktober 2020 selepas diserang sawan.
"Doktor tutup langsir di keliling katil saya dan memaklumkan bahawa saya menghidap kanser otak. Saya terkejut.
"Mereka memaklumkan ia sudah di tahap keempat dan saya tak tahu macam mana nak memproses kenyataan ini," katanya sebelum ini kepada OK! Magazine.
Selepas diagnosis, Parker dimaklumkan hanya punyai 12 bulan untuk meneruskan kehidupan.
Parker meninggalkan dua cahaya mata, Aurelia, 2, dan Bodhi yang baru berusia setahun.
Untuk rekod, The Wanted yang popular dengan lagu Glad You Came pernah mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 2012.