Hiburan
Wafiy & Erissa Bertukar Identiti Dalam Kasut Bola Pink
Filem televisyen terbaru berjudul Kasut Bola Pink bakal menyaksikan pertukaran identiti diantara pelakon cilik, Wafiy dan Erissa.
Menurut Penolong Naib Presiden Kanan Astro First & Astro Best, Sharmin Parameswaran, selain jalan cerita filem ini juga diperkuatkan lagi dengan keserasian lakonan yang ditunjukkan oleh Wafiy dan Erissa.
“Jalan cerita Kasut Bola Pink ini cukup santai dan sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga.
“Setiap babak yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon tersirat dengan pelbagai mesej positif terutamanya persahabatan dan keluarga.
“Keserasian antara Wafiy dan Erissa juga berjaya menghidupkan watak dengan baik walaupun diusia yang masih muda,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem tersebut bertempat di GSC, Pavillion, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Dalam pada itu, filem ini juga turut dibintangi oleh Vanidah Imran, Shidi Ishak, Afdlin Shauki, Jihan Muse, Tauke Jambu dan Bernie Chan.
Kasut Bola Pink akan ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 9 Mac depan dengan hanya RM15.00.90 (termasuk GST).
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Nina (Erissa) yang begitu meminati bidang solekan manakala Rafiq (Wafiy) pula merupakan pemain bola sepak popular di sekolahnya.
Mereka berdua boleh diibaratkan seperti pepatah anjing dengan kucing kerana kerap bergaduh dan berselisih pendapat.
Namun sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila kedua-duanya bertukar identiti ketika sedang bertelagah dan dipanah petir.
Lebih menarik lagi apabila mereka terpaksa menyamar menjadi diri masing-masing terpaksa bertukar watak disebabkan perkara tersebut.
Nina buntu apabila terpaksa menyamar menjadi rafiq manakala Rafiq pula berasa tertekan untuk menjadi Nina.