Viral
Wajah Mirip Cik Non, Netizen Minta Shuk Nasihatkan Ahli Keluarga ... "Orang Ingat Itu Adik Saya"
Pelawak dan penyampai radio Shuk Sahar terbuka apabila ada yang menjadikan wajahnya yang mirip usahawan kosmetik kontroversi, Cik Non sebagai bahan jenaka.
Kata Shuk, ramai yang tahu membezakan antara realiti dan percaya itu bukan dirinya.
"Betullah kata orang dalam dunia ni ada tujuh orang muka serupa dan saya sudah bertemu orang kedua.
"Saya akui, rasa kelakar sebenarnya tapi selagi tiada kaitan dengan kita saya terbuka dan menganggap perkara itu kelakar.
"Malah, saya rasa orang yang menyamakan muka saya dengan dia pun tahu itu tak betul," katanya kepada Gempak.
Shuk ditemui pada majlis pelancaran Awesome TV di Hotel Ritz-Carlton Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah Shuk, dia turut terkejut apabila ada dalam kalangan pengguna media sosial yang memintanya menasihati ahli keluarganya untuk berkelakuan senonoh.
"Memang ada juga orang samakan atau orang tanya adakah itu adik atau kakak saya, walhal tak ada kena mengena pun dengan saya.
"Sampai ada yang suruh saya nasihatinya.
"Kalau betul itu adik-beradik saya, rasa aiblah juga," tambah Shuk.
Tular sepotong video di media sosial baru-baru ini memaparkan aksi seorang wanita yang naik hantu di pintu masuk sebuah gedung perabot popular ibukota gara-gara tidak dibenarkan masuk kerana tidak memakai pelitup muka.
Bagaimanapun, ada yang berseloroh mengusik Shuk menyatakan individu terbabit dalam video berkenaan miripnya.