Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Wak Doyok Pilih Calon Isteri Yang Boleh Tinggal Dengan Ibu - “Saya Juga Mementingkan Aspek..."

Shahrin Zulkifle 31/03/2023 | 08:00 MYT

Pelakon dan personaliti fesyen, Wak Doyok meletakan ibunya sebagai keutamaan dalam apa jua aspek terutama dalam memilih pasangan hidup.

Selepas beberapa kali gagal dalam percintaan, Wak Doyok, 41, berkata dia kini ingin memanfaatkan kesempatan yang diberikan untuk terus berbakti dan menjaga ibunya yang sudah lanjut usia.

“Syarat utama adalah seseorang yang boleh tinggal bersama ibu saya kerana saya adalah anak bongsu, jadi adalah tanggungjawab untuk menjaga ibu. Oleh itu, calon isteri perlu bersetuju dengan syarat itu.

“Malah, sebagai seorang ibu pastinya dia mempunyai naluri untuk memilih bagi pihak saya. Ada beberapa wanita yang dibawa berjumpa ibu dan bawa pulang ke rumah, namun tidak berjaya untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya.

“Saya juga mementingkan aspek yang mana calon isteri itu mahir memasak. Kebanyakkannya sibuk dan lebih suka makan di luar, saya macam orang lama suka air tangan orang rumah,” katanya kepada Gempak.

Menurut Wak Doyok, pasangan hidup boleh dicari pada bila-bila masa, namun sosok seorang ibu hanya satu dan tiada gantinya.

“Matlamat saya untuk keluarga dan selagi ibu ada, selagi itu saya akan terus menjaga dia.

“Apatah lagi, ibu saya sudah berusia 80-an, jadi saya menggunakan kesempatan ini untuk membalas balik jasanya.

“Jadi, saya tidak tertekan atau terburu-buru untuk berkahwin,” katanya lagi.

Wak Doyok berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada acara Laskar Raya 2023 yang diadakan di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Pada acara berkenaan, Wak Doyok yang juga rakan bisnes Starvilion turut diumumkan sebagai duta bagi koleksi baju melayu raya jenama tersebut.

Penampilan Wak Doyok sebagai inspirasi bagi koleksi yang dikeluarkan pada tahun ini dengan tema Starvilion Laskar Raya 2023.

Koleksi Starvilion Laskar Raya 2023 hadir dengan tiga rekaan Baju Melayu iaitu potongan slim-fit, relaxed-fit dan teluk belanga dengan lebih 80 rekaan warna.

#Adi Putra #Wak Doyok #Baju Raya #Starvilion #Calon Isteri
;