Laman Utama
Waktu Netflix Indonesia Pertaruh Karya-Karya Hebat Joko Anwar, Timo Tjhahjanto, Shanty Harmayn
Minggu lalu, Netflix mengumumkan barisan baharu filem dan siri original dari Indonesia. Merangkumi pelbagai genre, iaitu thriller sci-fi, komedi, hingga drama berlatarkan masa lampau, tujuh rancangan ini diumumkan buat pertama kali di rancangan Waktu Netflix Indonesia.
Ketua Kandungan Netflix Indonesia, Rusli Eddy berkata, selari perkembangan penghasilan naskhah filem Indonesia sejak akhir-akhir ini sehingga berjaya menarik perhatian umum dari seluruh dunia.
“Industri filem Indonesia telah berkembang dengan sangat pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Semakin ramai pencipta dan cerita dari Indonesia menyita dan menarik perhatian penonton dan pengkritik dunia.
"Waktu Netflix Indonesia mempersembahkan cerita yang tulen dan unik, sebuah perwakilan dari negara yang kaya dengan cerita dan budaya, yang dipersembahkan oleh pembikin filem yang karya mereka telah memberi impak besar kepada industri filem kita," katanya.
Sejak Netflix tiba di Indonesia pada 2016, kisah-kisah mempesona dari republik itu seperti Ali & Ratu Ratu Queens dan Penyalin Cahaya telah menawan hati penonton. Siri tajuk terbaharu ini mencerminkan komitmen Netflix untuk menggalakkan industri kreatif Indonesia membangunkan karya menarik dan membawanya ke dunia.
Filem komedi aksi pertama Timo Tjahjanto iaitu The Big 4 bakal ditayangkan pada penghujung tahun ini. Filem ini berkisar tentang seorang detektif yang mematuhi undang-undang yang bekerjasama dengan beberapa pembunuh bayaran untuk menyiasat kematian bapanya.
“Saya teruja kerana dapat menceritakan kisah ini kepada dunia melalui Netflix. Tidak sabar rasanya untuk filem ini ditonton oleh semua orang di Indonesia dan seluruh dunia,” kongsinya..
Shanty Harmayn bersama pengarah Kamilia Andini dan Ifa Isfansyah bakal mempersembahkan sebuah drama bersiri berjudul Gadis Kretek, berkisarkan kisah cinta yang berlatar belakangkan perkembangan industri kretek dan peristiwa lampau di Indonesia.
“Berasal dari Indonesia, saya percaya kisah indah ini boleh dinikmati penonton di mana-mana sahaja,” kata Shanty.
Pengarah Joko Anwar pula menjanjikan sebuah siri thriller sci-fi Nightmares and Daydreams, berkisarkan tentang manusia biasa yang mengalami pelbagai kejadian aneh yang mungkin mampu menjawab asal usul dunia kita.
Mempersembahkannya dengan pelbagai plot, cerita-cerita ini akhirnya berkait dan mencapai penghujung dramatik.
“Indonesia mempunyai banyak cerita yang luar biasa dan unik. Saya sentiasa berminat untuk memperkenalkannya kepada dunia termasuk siri cerita baharu ini,” kata Joko.
Dalam pada itu, kandungan lain yang diumumkan termasuklah Dear David, kisah remaja yang luar biasa karya Muhammad Zaidy dan sutradara Lucky Kuswandi; komedi situasi unik Klub Kecanduan Mantan dari Salman Aristo; Hari Ini Akan Kita Ceritakan Nanti sebagai rangkaian terbaru dari semesta Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (One Day We’ll Talk About Today) dari sutradara Angga Dwimas Sasongko; serial Komedi Kacau dari penulis Raditya Dika yang menghadirkan kisah di balik layar dunia komedi serta sebuah projek mengujakan bersama penulis dan sutradara Ernest Prakasa.