Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Walau Hati Kacau Fikirkan Mak & Abah, Tapi Kami Kena Posisif Sebab Itu Juga Penawar…” - Yana Samsuddin

Fiza Kamarudin 16/08/2021 | 13:41 MYT
Pelakon, Yana Samsudin mengakui tidak senang duduk apabila mengenangkan keadaan ibu dan bapanya yang disahkan positif Covid-19.
Tambahan lagi kata Yana, ibunya yang kini berusia 60 tahun mempunyai masalah buah pinggang manakala bapa, 76 tahun ada masalah paru-paru.
“Alhamdulillah hari ini saya lebih tenang, tapi kalau semalam memang tak senang duduk...Kakak saya pula kongsikan keputusan swab test mereka selepas solat Isya’.
“Insya-Allah, hari ini saya lebih positif. Risau mestilah risau tetapi berfikiran positif itu juga penawar untuk semua kesakitan,” katanya.
Selain ibu dan bapanya, dua orang kakak serta seluruh keluarga mereka juga turut disahkan positif Covid-19.
“Ya, mereka semua sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing. Terima kasih yang mendoakan keluarga kami.
“Semoga semuanya dipermudahkan. Cuma saya nak pesan, sekarang ini kalau mengalami batuk atau demam, cepat-cepatlah lakukan ujian calitan.
“Sebab kita semua tak tahu kalau-kalau dijangkiti. Macam Kak Ngah saya mula-mula batuk biasa. Bila saya tanya dia kata mungkin sebab makan banyak rambutan.
“Tapi masa bercakap dalam telefon dengan dia saya dengar batuk dia lain macam. Saya pujuk dia suruh satu keluarga buat ujian calitan.
“Bila result keluar, mereka semua positif termasuk lima anak dan suaminya. Selepas itu, Kak Long (kakak pertama) saya pada awalnya tak ada sebarang simptom, cumanya anaknya ada tanda-tanda nak selesema.
"Saya minta dia sekeluarga menjalani ujian calitan dan keputusan menunjukkan dia dan empat anggota keluarga yang lain, positif,” katanya.
Terdahulu Yana menerusi laman sosial Instagram dan Facebook berkongsi berita duka mengenai 14 anggota keluarganya di Johor yang disahkan positif Covid-19 termasuk ibu bapa tersayang.
#Yana Samsuddin #COVID-19 #Keluarga Positif
;