Hiburan
Walking With Dinosaurs Datang Malaysia, Tak Sabarnya! Rasai Pengalaman Sebenar Bersama Dinosaurs Ogos Ini
Program jelajah siri televisyen popular BBC, Walking With Dinosaurs telah memilih Malaysia sebagai salah satu lokasi untuk membuat persembahan secara langsung Ogos ini.
Walking With Dinosaurs – The Live Experience ini pada asalnya dihasilkan oleh Gerry Ryan, Malcolm Cooke dan Jill Bryant di Australia sebelum dibawa ke dunia reality oleh Global Creatures.
Produksi bernilai RM20 juta ini menampilkan teknologi terkini sekaligus menempatkannya sebagai pertunjukan dinosaur terbaik dan terbesar dunia.
Menariknya persembahan secara langsung ini membolehkan pengunjung melihat sendiri perubahan dinosaur dari segi warna kulitnya dan juga beberapa spesis berbulu berdasarkan penyelidikan saintifik yang terkini.
Pertunjukan selama satu jam 40 minit itu menggambarkan evolusi dinosaur yang seakan-akan hidup di alam realiti.
Pengunjung berpeluang menyaksikan babak interaksi antara dinosaur,bagaimana dinosaur karnivor berjalan menggunakan dua kaki dan bagaimana herbivor menewaskan pemangsa yang lebih ganas.
Sebanyak Sembilan daripada 18 spesis dinosaur mewakili pemerintahan dinosaur sejak 200 juta tahun dahulu termasuklah spesis Tyrannosaurus Rex, Plateosaurus, Liliensternus dari zaman Triassic, Stegosaurus dan Allosaurus dari zaman Jurassic dan Torosaurus dan Utahraptor dari zaman Kretaseus.
Dinosaur yang terbesar adalah Brachiosaurus yang berketinggian 11 meter dan 17 meter dari hidung hingga ekor. Pembuatan dinosaur bersaiz sebenar ini mengambil masa setahun dan memerlukan tenaga kerja seramai 50 orang termasuk jurutera, pembuat fabrikasi, pembuat kulit, artis, pelukis dan pakar animatronik.
Penonton dapat melihat sendiri babak pemisahan benua bumi dan peralihan dari padang pasir yang gersang pada zaman Triassic ke padang rumput yang menghijau pada zaman Jurassic.
Selain itu, pembentukan lautan, letusan gunung berapi dan kebakaran hutan memberi kesan buruk yang menjadi punca kepupusan dinosaur juga ditunjukkan.
Walking With Dinosaurs – The Live Experience in Kuala Lumpur 2019 akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 23 hingga 25 Ogos bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil.
*(23 Ogos 2019, 7.30pm -ENG version), (24 Ogos 2019, 11.00 am -ENG version, 3.30 pm -CHI verson), 7.30 pm -ENG version) dan (25 Ogos 2019, 11am -ENG version), 3.30pm -CHI version)
Berikut merupakan harga tiket yang dijual:
Zon A (RM398), Zon B (RM298), Zon C (RM248), Zon D (RM198) dan Zon E (RM148).
Untuk pembelian tiket online pula sila layari: myticket.asia
Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial atau laman web rasmi UnUsUal Entertainment dan MacpiePro.
Terdahulu, Walking With Dinosaurs telah memulakan jelajah dunia di United Kingdom pada Julai 2018 dan menjelajahi seluruh Eropah sebelum menuju ke Asia dan memilihMalaysia untuk lokasi jelajah yang seterusnya.