Laman Utama
Wani Kayrie Tak Layan DM Anak Mukhriz, Enggan Timbulkan Perbalahan Mengenai Isu 'Black Face' - "Tahun Lepas Dia Ada Kecam Juga"
Pelakon dan penyanyi Wani Kayrie, 21, mendedahkan ini adalah kali kedua dia menerima kiriman mesej di Instagram (IG) daripada anak kepada ahli politik Datuk Seri Mukhriz Mahathir iaitu Ally Mukhriz berkenaan isu 'black face'.
Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata dia memilih untuk mengabaikan dengan tidak memberi respon bagi mengelakkan wujud perbalahan.
"Saya tak kenal dia pun dan tak pernah langsung balas direct message (DM) dia. Tahun lepas dia ada kecam juga.
"Tapi saya malas nak layan sebab tak nak berbalah dengan orang yang tak nak terima pandangan orang lain.
"Rata-rata orang yang mulakan kecaman ini adalah individu yang pernah kecam tahun lepas masa kami masih dalam penggambaran drama Dayang Senandung," katanya kepada Gempak.
Terdahulu, Wani pernah dikecam apabila dituduh tidak sensitif dengan isu warna kulit terutamanya ketika kempen dunia Black Life Matter yang melibatkan kaum kulit hitam.
Tambah peserta program Big Stage Musim Pertama, dia akui berasa geram apabila masih ada individu yang tidak dapat membezakan antara lakonan dan realiti.
"Saya geram juga tapi saya sabar selagi mampu. Yang saya tahu, drama ini mengandungi banyak nilai murni di sebalik kejahatan orang yang melemparkan ke atas Dayang Senandung.
"Orang yang tak tengok drama ini atau tak pernah tahu tentang kisah Dayang Senandung pada waktu dulu mesti akan kecam.
"Sebab itu saya buat kapsyen, "dont judge a book by its cover." Tapi netizen sendiri yang menilai dari luaran sahaja dengan hanya melihat imej hitam saya sebagai satu diskriminasi," katanya lagi.
Sebelum ini, Ally menerusi Instagram Stories miliknya meluahkan ketidakpuasan hati dengan penampilan Wani dalam drama yang terpaksa menghitamkan warna kulit wajah.