Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Wanita Mengaku Tidak Bersalah Gigit Hidung Jiran

Gempak 23/08/2024 | 15:55 MYT

Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat atas pertuduhan menggigit hidung jirannya, Januari lalu.

Tertuduh, Adrienne Liew Siew Wern, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Nor Syaliati Mohd Sobri selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada jiran lelakinya yang berusia 40 tahun dengan cara menggigit hidungnya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 3, Taman Bunga Raya, Bukit Beruang, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 6 petang, 19 Januari lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.

Peguam, Cassian Anthony bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya yang masih bujang hanya bekerja sebagai pembantu farmasi dengan gaji bulanan RM3,500 dan perlu menanggung ibu yang menghidap kanser otak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 6 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sumber: Astro AWANI menerusi Sinar Harian

#Jiran #Gigit Hidung #Mengaku Tidak Bersalah
;