Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Wehhhh! Bahayanya, Kanvas Terbang ‘Balut’ Abang Motor Kat Belakang Tu…Sikit Lagi Nak Kena Gilis Treler!” – Warganet

Fiza Kamarudin 05/11/2021 | 05:53 MYT

Selepas tular video yang dirakam menerusi dashcam memaparkan kanvas lori melayang sehingga ‘membalut’ penunggang dan pembonceng motosikal, warganet memohon tindakan tegas diambil kepada pemandu lori.

Video tular berdurasi 45 saat itu antara lain menunjukkan dua individu yang sedang menaiki motosikal hilang kawalan dan terlanggar tayar treler bergerak laju selepas ‘dibalut’ kanvas lori yang melayang.

Rata-rata warganet berpendapat, kecuaian pemandu lori tersebut merisikokan nyawa pengguna jalan raya lain.

Tambahan lagi, ketika kejadian, penunggang dan pembonceng motosikal terlanggar sisi kanan treler sebelum terjatuh di tengah-tengah lebuh raya akibat penglihatan mereka terhalang.
“Wehhh! Bahayanya, kanvas terbang balut abang motor kat belakang tu. Sikit lagi nak kena gilis treler kat sebelah.”
“Panjang nyawa abang dua orang ni. Dorang dah langar tayar treler tu, Allahu…”
“Tolong cari siapa pemandu lori ni! Ini melibatkan nyawa tau tak! Sebab kau yang cuai orang lain jadi mangsa!.”
Antara komen netizen yang melemparkan kemarahan terhadap insiden hampir meragut nyawa itu.
Bagaimanapun menurut laporan Harian Metro semalam, polis sedang mengesan pemilik perakam video (dashcam) untuk membantu siasatan.
Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang, dekat Sepang, pada 8 pagi, Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan dan mangsa terbabit.

"Kanvas lori yang tercabut itu menyebabkan penglihatan individu berkenaan terhalang dan motosikal ditunggang mereka terlanggar sisi kanan treler di lorong kiri sebelum terjatuh.

"Identiti pemandu, mangsa dan nombor pendaftaran kenderaan berkaitan masih belum dipastikan lagi," katanya dalam sebuah kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

#Viral #Polis #Kanvas lori terbang
;