Laman Utama
Will Smith Buat Yoga & Meditasi Di India
Kedatangan Will Smith ke India hujung minggu lalu disifatkan sebagai sebuah perjalanan ‘kerohanian’ selepas insiden tampar yang berlaku dalam anugerah Oscar baru baru ini.
Ia juga menjadi penampilan pertama Smith di khalayak umum selepas menampar rakan selebriti, Chris Rock setelah pelawak tersebut bercanda mengenai penampilan isterinya, Jada Pinkett Smith yang botak dalam Oscar sekaligus mencetuskan sensasi itu.
Menurut laporan, sumber yang tidak mahu identiti didedahkan mendakwa Smith telah mengikuti kelas yoga dan melakukan meditasi di sana sebagai usaha mencari ketenangan rohani.
Daily Mail juga melaporkan bintang itu bertemu dengan guru kerohanian yang cukup berpengaruh Sadhguru dalam proses membantu dirinya ‘menjadi lebih baik’. Mereka dikatakan pertama kali bertemu di Los Angeles pada tahun 2020.
Malah peminat juga cuba mengaitkan kenyataan Smith iaitu ‘Perubahan mengambil masa dan tidak akan sama sekali membenarkan keganasan digunakan sebagai perisai’ sebagai salah satu langkah aktor tersebut berusaha berubah.
Meski demikian, ada segelintir peminat yang mengkritik Smith. Mereka berpendapat Smith hanya mahu menyelamatkan diri sendiri tanpa meminta maaf secara peribadi terhadap Chris Rock selepas insiden memalukan tersebut.
Terdahulu, Smith akur setelah dirinya diharamkan ikut serta dalam Oscar selama 10 tahun impak daripada perlakuannya yang disifatkan sebagai keterlaluan dan menjatuhkan reputasi anugerah berprestij tersebut.
Kredit Foto: Republic World