Laman Utama
"Ya, RichWorks Memang 'Skim Cepat Kaya'" - Dr Azizan Osman Sindir Balik Jebat Derhaka, Anggap Diri 'Tuah'?
"Ya, RichWorks memang 'skim cepat kaya'," demikian kata motivator dan mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman, menjawab persoalan ditimbulkan YouTuber Jebat Derhaka baru-baru ini.
Tegas Azizan, syarikat yang diasaskannya, RichWorks sebenarnya sebuah syarikat bimbingan dan latihan keusahawanan terbesar di negara membantu bangsa usahawan membina bisnes sampai jadi kaya.
"Dia (Youtuber) sepatutnya ambil video billboard yang lain di sepanjang lebuh raya yang rata-rata merupakan anak didik kami. Bukan jenama syarikat saya sahaja.
"Jenama seperti Eskayvie, Nurraysa, Anggun Cotton, Chocodap's, Sabella, Noir, Hasnuri dan banyak lagi pun ada di sepanjang lebuh raya," katanya mengulas mengenai kontroversi video viral Jebat Derhaka.
Tambah Azizan, YouTuber itu boleh menilai sendiri kejayaan anak-anak muridnya menerusi bisnes yang dibina dari kosong sampai bergelar jutawan.
"Pergi dapatkan buku yang kita keluarkan tahun lalu. Bagi 'adik' (Jebat Derhaka) ini mungkin baru keluar gua gamaknya. Kita ada senarai 100 usahawan di Malaysia yang RichWorks bina.
"Bukti ini ada dalam buku 100 Usahawan Jutawan. Malah menteri pun 'endorse' RichWorks dalam Parlimen. Nampak sangat dia duduk dalam gua, baru keluar balik raya, baru nampak billboard itu, kesian.
"Kemudian cakap itu ini, tanpa usul periksa. Sampai ada cakap semua ini gimik semata-mata," ujarnya.
Terdahulu, Youtuber itu mempersoalkan keberkesanan RichWorks dan menganggap syarikat yang ditubuhkan Azizan bersifat skim cepat kaya.
Sementara itu, Azizan sempat berseloroh membalas balik sindiran Jebat Derhaka dengan menyatakan dirinya adalah 'Tuah'.
"Saya Tuah, Tuah Azizan, siapa yang saya bimbing insyaAllah dia bertuah," katanya yang turut mengadakan rumah terbuka di Villa Mak Ayah, Taman Kenanga, Tengkera, Melaka pada Khamis.
Rumah Terbuka itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.