Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal Meninggal Dunia Di IJN

Awani 10/05/2024 | 07:45 MYT
Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal, 69 tahun dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada jam 11.46 pagi tadi.

Menurut kenyataan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, beliau terlebih dahulu menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada 6 Mei daripada Azerbaijan.

Beliau yang melakukan lawatan kerja di negara itu bermula 29 April lepas, pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

Mendiang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.

“Keluarga mendiang Mutang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam menghadapi masa yang sukar ini,’’ jelas kenyataan itu.

Tambahnya, maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian

Mendiang dipilih menjadi Speaker Dewan Negara ke-20 dan mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Feb lalu.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas, Sarawak menjadi pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang dilantik memegang jawatan itu.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak, dari 1982 hingga 1990.

Mutang mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis di dalam bidang perundangan.

Pemergian beliau meninggalkan isteri Datin Ho May Leng dan tiga orang anak.

Sumber: AWANI

#Meninggal Dunia #IJN #Datuk Mutang Tagal #Dewan Negara #Speaker Dewan Negara #Yang Di Pertua Dewan Negara
;