Yusof Haslam Pesan Suami Perlu Pandai Memujuk, Kongsi Tips Lembutkan Hati Isteri - “Kalau Bagi Bunga Tapi Perangai Sama Juga Tak Guna”
Petua Dari Ibu
Menurut Yusof, itulah perkara yang diamalkan untuk kekal bertahan dalam bahtera perkahwinannya yang kini sudah memasuki usia 41 tahun.
“Rumah tangga saya bertahan kerana sifat memujuk saya. Ini adalah petua saya yang datang dari ibu saya sendiri.
“Arwah bapa saya suka memujuk, kalau mereka bergaduh, ayah saya akan pujuk. Jadi itulah yang saya amalkan, Alhamdulillah,” ujarnya kepada pemberita.
Jangan Pentingkan Diri
Tambah Yusof lagi, suami memainkan peranan yang penting dalam proses tersebut selain harus membuang sifat pentingkan diri dengan pasangan.
“Perlunya budaya pujuk memujuk, jangan anggap diri kita sempurna. Jika fikir begitu, sampai bila pun takkan selesai masalah.
“Kena tolak ansur dan jangan pentingkan diri sendiri. Kalau ada masalah dalam rumah tangga, jalan terbaik adalah jalan pendamaian. Buang ego,” kongsinya.
Kata-Kata Manis Tanda Pujukan
Bapa kepada pengarah, Syamsul Yusof itu turut berkongsi dia menggunakan kata-kata manis sebagai tanda pujukan kepada isteri tercinta.
“Bagi saya dengan kata-kata atau perbuatan itu yang lebih bermakna daripada bunga. Kalau beri bunga tapi benda (masalah) berlaku tak guna juga.
“Ini nasihat saya sebagai orang tua, saya ambil ibu bapa saya sebagai simbol dalam perkahwinan. Mereka juga bergaduh tetapi ayah saya ‘kaki pujuk’. Itulah yang saya mahu dalam diri saya dan juga keluarga saya,” kongsinya lagi.