Terkini
Zahnita Tolak Tawaran RM150,000 Jadi Model, Mahu Tumpu Bisnes Pai
Bekas pelakon dan model, Zahnita Wilson menolak tawaran RM150,000 sebagai antara penyeri jenama baju raya terkemuka demi menumpukan bisnes yang diusahakan iaitu 'Zahnita's Humble Pie'.
Memetik Mingguan Wanita, Zahnita akui bukan mudah membuat keputusan itu, namun dia tetap berbesar hati dengan rezeki yang datang tidak putus-putus susulan kemelut rumah tangga yang dihadapi.
Menurut pelakon Kuliah Cinta itu, dia tidak akan kembali ke dunia peragaan kerana perniagaan pai semakin mendapat perhatian dan permintaan ramai.
"Saya sangat berbesar hati dengan tawaran itu, tetapi masa saya kini terhad.
"Bisnes ini memerlukan komitmen penuh dan saya mahu memastikan ia berjaya sebelum memikirkan hal lain. Memasak adalah terapi buat saya.
"Bisnes ini bukan sahaja memberi peluang untuk berkreativiti, tetapi juga cara untuk menjana pendapatan stabil. Melihat reaksi pelanggan menikmati pai saya memberi kepuasan yang tak tergambar dek kata-kata," katanya pada Jumaat.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan berita Zahnita menjadi mangsa keganasan rumah tangga selepas wanita jelita itu memuat naik sekeping gambar di Instagram.
Ibu kepada empat cahaya mata itu mendakwa sudah dizalimi dari segi fizikal dan mental sepanjang 20 tahun usia perkahwinan.
Ramai menzahirkan rasa simpati terhadapnya susulan isu rumah tangganya tular dan turut menyokong perniagaan pai yang dihasilkan Zahnita.
Terbaharu, Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, nekad memohon cerai kerana tidak ingin lagi hidup berumahtangga selepas suaminya ditahan polis atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan dadah.
Meskipun berdepan trauma berpanjangan, Zahnita berpandangan, dirinya perlu bangkit daripada kesedihan dan meneruskan hidup baharu dengan mengembangkan perniagaan.
Tambah beliau, keutamaan ketika ini adalah membina sesuatu yang boleh memberikan kestabilan buat dirinya dan anak-anak.
"Setiap orang berhak untuk memulakan hidup baharu tidak kira apa yang telah berlaku.
"Bagi saya, hidup adalah tentang membuat pilihan yang terbaik demi masa depan," ujar teraju utama filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu lagi.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video