Laman Utama

“Zalimi Pihak Lain” - Galak Pakai Android Box? Mufti WP Perjelas Hukum Sebenar Tonton Secara…

Hanafis Haris
24/11/2021
14:02 MYT
Sponsor Banner
“Zalimi Pihak Lain” - Galak Pakai Android Box? Mufti WP Perjelas Hukum Sebenar Tonton Secara…

Persoalan mengenai hukum sebenar menggunakan ‘Android Box’ untuk menonton saluran berbayar akhirnya mendapat respon pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).

Menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan pihak PMWP, asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box sebenarnya adalah harus.

Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara salah, maka ia adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Jelas pihak PMWP, Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia.

Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.

“Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma.

“Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.

“Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.

“Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

“Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya.

“Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT,” kata pihak PMWP.

Tambah kenyataan itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran.

“Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak.

“Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.

“Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya,” tulis kenyataan itu.

Anda boleh lihat penjelasan penuh PMWP di sini.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar