Berita
Zarith Sofia Mengaku Tidak Bersalah Simpan & Kurung Beruang Matahari, Minta Dibicarakan
Penyanyi Zarith Sofia mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan menyimpan dan mengurung hidupan liar dilindungi (Beruang Matahari) di kediamannya tanpa permit.
Zarith yang diwakili peguam Datuk Haziq Pillay bagaimanapun minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Manirah Mohd Noor di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, pagi tadi.
Selepas mendengar rayuan, mahkamah menetapkan RM10 ribu jaminan dengan seorang penjamin dari pihak Zarith dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran, setiap 1 haribulan sehingga kes selesai.
Pasport antarabangsa penyanyi tersebut juga diminta diserahkan kepada mahkamah sehingga kes tamat dibicarakan.
Terdahulu, Jabatan Perhilitan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Zainol Abidin tidak bersetuju dengan sebarang jaminan dan memohon jumlah sebanyak RM30 ribu dikenakan sekiranya jaminan ingin diberikan.
Zarith didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menyimpan seekor Beruang Matahari tidak matang, iaitu hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas dan boleh dedenda tidak melebihi RM200 ribu atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua dikenakan terhadap Zarith ialah mengurung seekor Beruang Matahari tidak matang, iaitu hidupan liar dilindungi sepenuhnya di dalam premis tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar tersebut.
Kesalahan tersebut disebut di bawah seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5 ribu dan tidak melebihi RM50 ribu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Zarith ditahan di kondominumnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada 6 Jun lalu, kira-kira jam 8 malam selepas pihak Perhilitan membuat pemeriksaan di rumahnya.