Hiburan
Zarul Muncul Dengan Single Baru Selepas 2 Tahun GV3 Tamat, Tak Lambat Sangat Ke?
Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 3 (GV3), Zarul Husin melancarkan single baru yang bertajuk Remuk, ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza.
Astro Gempak sempat bertanyakan kepada Zarul adakah tidak terlalu lambat untuk dirinya muncul dengan single baru selepas dua tahun GV3 tamat.
"Saya akui agak lambat tetapi saya mahu memberikan yang terbaik untuk peminat. Saya mementingkan kualiti dan mahu menghadiahkan sesuatu yang benar-benar berbaloi dinanti.
"Sebelum ini saya ada merakamkan dua buah lagu tetapi saya tidak mengeluarkannya sebagai single kerana tidak yakin dengan lagu tersebut.
"Menerusi Remuk, saya dapat rasakan lagu ini mempunyai kualiti tersendiri dan rakan-rakan industri juga memberikan respon positif," katanya.
Tambah vokalis kumpulan Umbrella ini, dia akan mempromosikan singe Remuk dengan sebaik mungkin agar mendapat perhatian yang sepatutnya.
"Saya akan cuba mempromosikan lagu ini dengan sebaik mungkin dengan bantuan syarikat pengurusan dan label rakaman. Saya juga berharap lagu ini akan menjadi lagu runut bunyi bagi mana-mana drama atau telefilem.
"Saya berharap peminat dapat menerima lagu Remuk dan menyelami apa yang saya cuba sampaikan menerusi lagu tersebut," katanya lagi.
Bernaung dibawah NADCS Entertainment, lagu Remuk mendapat kerjasama syarikat edaran Indigital dan boleh didengari serta dimuat turun di platform digital seperti Joox, iTunes, YouTube, Spotify dan banyak lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Zarul