Laman Utama
Ziana Zain Beli Barang, Cari Makan Sedap Menerusi TikTok - “Tapi Kena Tengok Jugalah Takut…”
Penyanyi dan pelakon, Ziana Zain mengakui kurang aktif menggunakan media sosial untuk berkongsi tentang hal peribadi.
Pelantun lagu Puncak Kasih itu berkata, dia berbuat demikian kerana mahu menjadikan platform media sosial miliknya sebagai platform bagi berkongsi hal mengenai kerjaya dan perkembangan terkininya sahaja.
“Jujurnya, saya memang tak berapa aktif di media sosial. Kalau ada pun, saya hanya berkongsi hal-hal berkaitan dengan kerjaya sahaja.
“Bagi saya my life is my privacy. Tak nak lah nanti anak-anak rasa tak selesa… Contohlah, kalau kita keluar, ada peminat nak bergambar, dah macam saya ambil masa anak-anak pula.
“Lagipun, nak buat content pun saya tak berapa minat. Tambahan pula saya ni tak suka ikut trend, saya jenis klasik!” katanya kepada Gempak.
Beli produk di TikTok
Sungguhpun tidak kerap berkongsi hal berkaitan kehidupan, Ziana mendedahkan yang dia kerap menggunakan TikTok untuk mendapatkan informasi terkini khususnya berkaitan makanan.
“Ye betul, saya gunakan TikTok untuk cari makan sedap! Selain itu, saya juga banyak membeli produk-produk di TikTok. Banyak juga yang bagus-bagus. Tapi kena tengok jugalah takut sampai-sampai tak sama seperti yang digembar-gemburkan,” katanya.
Masih dalam ruang lingkup media sosial, Ziana bakal muncul dengan sebuah drama bersiri komedi terbaharu berjudul FYP: Famili Yang Popular.
FYP: Famili Yang Popular
Memegang watak Bonda, Ziana berkata wataknya itu persis dirinya sebagai seorang ibu ketika berada di rumah.
“Dalam drama bersiri ini, saya memegang watak sebagai Bonda kepada keluarga Encik Zahrin. Bonda juga ada dua anak lelaki dan dua anak perempuan. Keluarga Bonda ni famous, selalu buat live dan promosikan produk-produk.
“Watak Bonda ni pun mirip dengan saya kalau di rumah. Cara dia marah anak-anak pun sama juga dengan saya. Macam mak-mak yang lain juga,” katanya lagi.
Selain Ziana, FYP: Famili Yang Popular turut dibintangi oleh Sherry Alhadad, Rashidi Ishak, Dinda Dania (Ceria Popstar Xtra), Iqmal (Ceria Popstar Xtra), Faleeq (Ceria Popstar Xtra), Marsha (Ceria Popstar Xtra) dan Puteri Rayyana Rayqa (Ceria Popstar Xtra)
FYP: Famili Yang Popular mengisahkan tentang sebuah keluarga influencer yang mementingkan dunia media sosial terkejut apabila mendapat tahu salah seorang ahli keluarga menghidap kanser.
Saksikan FYP: Famili Yang Popular bermula 24 April, setiap Isnin 9 Malam di Astro Ceria (CH611) atau strim di Astro Go!