Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Ziana Zain Respon Dakwaan Dapat Gelaran 'Datuk'! - "Pagi-Pagi Terima Ucapan..."

Mya Amri 05/09/2023 | 08:55 MYT
Penyanyi, Ziana Zain menafikan dakwaan menerima gelaran datuk seperti yang diperkatakan sebuah blog baru-baru ini.
Menurut Ziana, dia berasa terkejut sebaik sahaja mengetahui tentang perkara itu daripada sahabat-sahabatnya.
“Saya terkejut sebab pagi-pagi lagi dah dapat ucapan tahniah daripada kawan-kawan. Bila masa saya dapat Datuk, tiada.
“Itu yang saya rasa nak gelak pun ada. Ada setengah orang marah tapi saya geli hati. Setakat ini saya belum menerima apa-apa tawaran berkenaan panggilan itu,” katanya ketika ditemui Gempak.
Ziana ditemui pada majlis perkongsian mengenai kaedah pembedahan Bariatrik oleh Pakar Bedah Perunding, Pakar Usus dan Bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher bertempat di Hadramawt Kitchen, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Ziana tidak menolak sekiranya dia diberikan pengiktirafan tersebut dan menganggapnya sebagai satu bonus.
“Sekiranya dapat gelaran Datuk itu saya anggap sebagai bonus dan rezeki untuk saya sebagai anak seni.
“Gelaran itu satu anugerah dan pengiktirafan ke atas diri saya sepanjang tempoh pekhidmatan bergelar anak seni.
“Kalau dapat syukur alhamdulillah. Kalau tidak dapat pun saya bersyukur sahaja. Andai suatu hari dapat pun saya lebih selesa dipanggil Zie (Ziana).
“Saya bukan kejar pangkat Datuk tapi yang sekarang ini yang penting duit untuk hidup. Supaya dapat sara kehidupan saya dan anak-anak.
“Mungkin ada peminat di luar sana yang lihat ada artis lebih muda dari saya dah dapat gelaran Datuk, itu pendapat mereka untuk utarakan pandangan,” jelasnya.
Untuk info, selebriti sensasi Azwan Ali juga berpendapat Ziana layak diberikan gelaran Datuk.
Gelaran dan darjah tersebut wajar diberikan kepada penggiat seni yang mempunyai jasa besar terhadap industri hiburan tanah air.
#Penyanyi #Viral #Ziana Zain #Datuk #Blog
;