Laman Utama
Zizan Razak Akui Sukar Nak Menangis Dalam Damak Si Kuba - "Nak Sedih Kena Ingat ..."
Pelakon Zizan Razak akui sukar untuk melakonkan babak menangis dalam telefilem terbaharu Damak Si Kuba.
Jelas Zizan, dia bagaimanapun tidak menyangka mampu menjayakan peranan itu dengan cara tersendiri.
"Ini juga antara yang payah iaitu menangis tapi dalam cerita ini saya sendiri belajar teknik itu sampai saya menangis teresak-esak. Saya tak sangka saya dapat buat.
"Tapi kalau kita faham kisah sebenar dan mendalami, kita boleh faham. Setengah orang cakap, untuk watak sedih kita kena ingat benda paling sedih, konsep itu akan lari dan tak kena.
"Dalam cerita ini, dia orang susah. Jadi kita faham watak yang kita bawa dan secara tak langsung kita nangis," katanya.
Dalam telefilem terbabit, Zizan melakonkan watak Pok Chek, seorang anak penggembala yang kehilangan ibunya akibat kanser melalui saat sukar apabila perlu berpisah dengan kerbau kesayangannya bagi menampung kewangan keluarga.
"Saya bawa watak orang susah, kerja berkebun dan dapat anak buta. Banyak kejadian tak diingini berlaku. Saya rasa susah, habis shoot saya masih termenung.
"Dalam cerita ini saya mewakili orang susah. Ada orang yang melalui kesusahan begini," ujarnya.
Damak Si Kuba diarahkan oleh Zainorsham dan turut dibintangi Danish Hazriq, Bienda, Angie Tan dan Mak Sheen.
Telefilem Damak Si Kuba akan ditayangkan pada 17 September 2022, pukul 9 malam, di Astro Ria.