Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

"Alhamdulillah Mentaliti Kami Untuk Menang Dan Selama Ini Kami Tidak Diberi Peluang" - Ajak Shiro

Elrafaei Sapi 22/01/2019 | 10:25 MYT
Kemenangan kumpulan Shiro buat pertama kali pada Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) membuktikan mereka adalah pelawak terbaik yang sukar ditandingi pelawak-pelawak lain.
Salah seorang anggota kumpulan Shiro iaitu Ajak menyifatkan kesemua peserta yang bertanding pada final MLM 2018 sudah memberikan komitmen terbaik.
"Sambutan terhadap MLM 2018 memang hebat sampaikan di luar, ada penonton yang tidak dapat masuk.
"Siapa yang masuk pertandingan ada mentaliti untuk kalah, saya rasa lebih baik jangan masuk pertandingan itu. Alhamdulillah mentaliti kami untuk menang dan selama ini kami tidak diberi peluang, mungkin rezeki tidak berpihak pada kami dan kami tidak mempertikai rezeki yang berpihak pada mereka," katanya.
Shiro yang pernah menjadi naib juara sebanyak dua kali pada musim sebelum ini mahu memberikan persembahan berbeza dengan kumpulan lain.
"Kami cuba nak menampakkan variasi dalam komedi, Zero dengan kelebihan mereka dan sama ada juga Bocey ada kelebihannya. Apabila kami diumumkan sebagai juara MLM 2018, insha Allah kami mahu mengorak langkah yang lebih pada tahun ini," katanya.
Dalam pada itu, Ajak memberitahu dia tidak fikir sambung kontrak sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio swasta selepas Februari nanti kerana mahu meneruskan kembali karier sebagai pelawak.
"Kenapa muka sama setiap kali MLM sebenarnya jika kita melihat komedi di Indonesia sebagai contoh, mereka tidak masuk pertandingan apabila menjadi artis.
"Mereka adalah artis dan seniman yang tidak perlu bertanding, hanya orang baru yang bertanding tapi di sini budaya industri kita menyaksikan MLM disertai pelawak-pelawak yang dah memang 'established' dan kami sebenarnya tidak menghalang pendatang baru tapi mengalukan mereka sebenarnya," katanya.
Meskipun dianggap pelawak otai, Ajak berpandangan MLM sebelum ini dimonopoli pelawak seperti Jozan, Jambu, Nabil, Sepahtu dan Boboi kemudian MLM generasi kedua menyaksikan masih ada Shiro, Zero, Bocey, Puteh dan Taman.
"Kami mengalukan pelawak baru, mana tau tahun depan ada peserta lain yang lebih menyerlah," katanya.
Bagi Shahrol, dia bersyukur atas kemenangan wang tunai sebanyak RM500,000 pada MLM 2018.
"Kami berada di sini atas doa yang diberikan ibu bapa dan peminat," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak
#Bocey #Zero #Shiro
;