Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

AME2018: 5 Pencalonan Dalam 3 Kategori, Apa Harapan Zul Ariffin?

Amri Hassan 04/04/2018 | 01:46 MYT
Selain Zizan Razak yang mendominasi Top 5 dalam empat kategori Anugerah MeleTOP Era (AME2018), Zul Ariffin juga antara calon yang mencuri perhatian tahun ini.
Zul tercalon untuk kategori Pelakon TV MeleTOP, dua pencalonan kategori sama iaitu Filem MeleTOP (J Revolusi & Tombiruo: Penunggu Rimba) dan Bintang Filem MeleTOP (J Revolusi dan Tombiruo: Penunggu Rimba).
"Alhamdulillah, pencalonan ini bukan hanya untuk saya seorang tetapi juga kejayaan dua produksi filem J Revolusi dan Tombiruo: Penunggu Rimba untuk meletakkan karya mereka dalam kelas tersendiri.
"Sejujurnya saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk AME2018.
"Asalkan ia memberikan saingan sihat dalam industri hiburan kita itu sudah memadai bagi saya," katanya kepada Astro Gempak.
Dalam kategori Pelakon TV MeleTOP, Zul bakal bersaing dengan Fattah Amin, Neelofa, Siti Nordiana dan Syafiq Kyle.
Manakala, untuk kategori Filem MeleTOP, Zul perlu menumpaskan Abang Long Fadil 2, Bisik Pada Langit dan Kimchi Untuk Awak untuk memenangi salah satu daripada dua filem lakonannya yang tercalon, J Revolusi & Tombiruo: Penunggu Rimba.
Dua filem itu juga turut tercalon dalam kategori Bintang Filem MeleTOP di samping Zizan Razak, Nur Fazura dan Janna Nick.
AME2018 akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad ini, 8 April 2018 pada pukul 9 malam.
Menariknya AME2018 akan disiarkan di empat buah saluran utama iaitu Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Astro Maya HD (134).
AME2018 boleh diakses secara live streaming di YouTube MeleTOP dan Astro Go, NJOI Now dan On Demand untuk pilihan lebih fleksibel.
Undian fasa kedua ini boleh dibuat menerusi laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my, aplikasi ERA dan RAKU serta melalui kiriman SMS bermula 6 Mac 2018, jam 6.00 petang hingga 8 April 2018 jam 12.00 tengah hari.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @mabudinh
#Zul Ariffin #Tombiruo: Penunggu Rimba #AME2018
;